Utama kepentingan negara selesai kemelut Zii Jia-BAM


  • Podium
  • Sabtu, 22 Jan 2022

ZII Jia meninggalkan BAM selepas didakwa tidak berpuas hati dengan sistem pengurusan persatuan itu. — Facebook

KEMELUT antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia perlu diselesaikan dengan meletakkan kepentingan negara mengatasi segala-galanya.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mana-mana pihak termasuk peminat sukan tersebut juga tidak seharusnya menunding jari dan menyalahkan sesiapa sebaliknya mencari jalan dalam menyelesaikan kemelut tersebut.

"Kita perlu mengutamakan negara. Saya berpandangan Zii Jia dan BAM sentiasa meletakkan kepentingan negara mengatasi segalanya.

"Saya lihat ada peluang untuk saya sebagai orang tengah untuk kedua-duanya duduk berbincang mengatasi kemelut ini kerana setiap pihak ada kemahuan dan kehendak masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelepasan Larian Baton Komanwel sempena Queen's Baton Relay 2022 di Padang Lintau Kampung Tengku Hussein, Manjoi, Ipoh, Perak pada Sabtu.

Pada Jumaat, Ahmad Faizal dilapor sebagai berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan BAM dan Zii Jia dalam masa terdekat berhubung peletakan jawatan pemain perseorangan lelaki nombor satu negara itu.

BAM juga pada Jumaat memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia yang juga juara All England 2021 menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 18 Januari susulan keputusan pemain ranking ketujuh dunia itu yang mahu meninggalkan BAM menerusi surat peletakan jawatan dihantarnya pada 11 Januari lepas.

Terdahulu, Ahmad Faizal melepaskan larian tersebut yang disertai kira-kira 1,000 peserta termasuk Kaunselor Politik (Dalaman) Wakil Pesuruhjaya Tinggi British, Tom Shepherd selain atlet-atlet negara, wakil agensi, belia dan penduduk sekitar kawasan Manjoi.

Queen’s Baton Relay merupakan larian berganti-ganti di seluruh dunia yang diadakan sebelum bermula Sukan Komanwel yang dijadual dari 28 Julai hingga 8 Ogos tahun ini dengan penyertaan 72 negara dan Malaysia merupakan negara ke-29 yang menjadi persinggahan acara larian tersebut. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram