BAM, Zii Jia perlu cari penyelesaian — Menteri


  • Podium
  • Sabtu, 22 Jan 2022

ZII Jia digantung daripada terlibat dengan sebarang perlawanan antarabangsa selama dua tahun. — The Star

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) dan pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia diminta mencari jalan penyelesaian dalam isu berpalit antara kedua-dua pihak itu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, masa depan pemain berusia 23 tahun itu serta kedudukan Malaysia di pentas badminton antarabangsa tidak seharusnya dipertaruhkan.

"Jika kepentingan negara diutamakan, sudah tentu ada jalan penyelesaiannya. Pada hemat saya, isu di antara BAM dan Zii Jia bukanlah perkara yang rakyat dan para pendokong serta penyokong sukan badminton inginkan ketika ini.

"BAM dan Lee Zii Jia mesti mencuba bersungguh-sungguh mencari jalan penyelesaian untuk isu ini. Saya akan bertemu dengan kedua-dua belah pihak dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunood mengumumkan BAM tidak akan mendaftarkan Zii Jia, pemain ranking ketujuh dunia, untuk mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun bermula 18 Januari ini.

Ia berikutan keputusan juara All England itu yang menghantar surat untuk keluar daripada BAM pada 11 Januari lepas agar beliau dapat bergerak sebagai pemain profesional, dengan alasan tidak dapat menahan tekanan di BAM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Faizal Azumu, Lee Zii Jia, BAM, badminton, KBS