JUARA Olimpik, Viktor Axelsen menyokong keputusan pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia yang membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergerak sebagai pemain profesional.
Axelsen menerusi satu hantaran Instagram Story berkata, Zii Jia mempunyai hak untuk memilih sendiri laluan kerjaya yang diimpikan.
"Jika seseorang pemain (dalam hal ini Zii Jia) merasakan ini adalah yang terbaik buat dirinya untuk memilih jalan lain dalam hidup di mana dia lebih bebas sebagai pemain, maka itulah yang sebaiknya, pada pandangan saya.
"Ini adalah karier beliau dan kehidupannya secara keseluruhan," tulisnya.
Menerusi hantaran sama, Axelsen berkata, setelah beberapa kali menentang Zii Jia, dia yakin walau apapun terjadi, pemain itu akan terus melakukan yang terbaik untuk membanggakan rakyat Malaysia dan penyokongnya.
"Hanya dia sendiri yang tahu apa yang terbaik buat dirinya sekarang. Saya tidak sabar untuk bertemu menentang Zii Jia di gelanggang pada masa akan datang.
"Ini bukan hal saya tetapi saya ingin berkongsi pendapat," katanya lagi.
Zii Jia yang juga Juara All England 2021 dan menghuni ranking ketujuh dunia telah menghantar surat peletakan jawatan kepada BAM pada 11 Januari lepas.
Timbalan Presiden badan induk itu, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos bakal mengumumkan keputusan mesyuarat Majlis BAM pada Isnin lepas dalam satu sidang media yang akan diadakan Jumaat ini.
Sementara itu, membalas hantaran Instagram Story itu, Zii Jia berterima kasih kepada Axelsen atas sokongan dan kata-kata semangat yang diberikannya.
"Terima kasih sahabatku, semoga ada berita baik esok," katanya ringkas.
Dengan sokongan yang diberikan Axelsen secara terbuka kepada Zii Jia, ada pihak berpendapat, pemain Denmark itu mungkin terbuka kepada idea untuk Zii Jia menyertainya di Dubai sebagai pemain bebas menjelang kejohanan utama.
Axelsen kini dilaporkan berlatih sendiri di Dubai bersama beberapa pemain termasuk penyandang juara dunia Loh Kean Yew. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram