Tinggalkan BAM, Zii Jia mungkin boleh digantung


  • Podium
  • Khamis, 20 Jan 2022

ZII Jia menghantar surat peletakan jawatan kepada BAM pada 11 Januari lepas. — Bernama

NASIB pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia sama ada dia boleh bermain sebagai pemain bebas selepas meninggalkan pasukan kebangsaan, akan diketahui pada Jumaat.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria pada Rabu telah mengesahkan bahawa Juara All England 2021 itu telah mengemukakan peletakan jawatannya minggu lalu.

Bagaimanapun, BAM hanya akan mengumumkan keputusan mereka pada pukul 4 petang Jumaat, sama ada pemain ranking ketujuh dunia itu akan digantung oleh badan induk tersebut.

Sebelum ini, BAM pernah mengenakan penalti berbentuk sekatan kepada Tan Chun Seang daripada bertanding di Asia selama dua tahun pada 2011 apabila beliau keluar daripada badan kebangsaan itu.

Norza berkata, pihak BAM telah melakukan segala-galanya untuk mengekalkan Zii Jia namun ia terbukti sia-sia.

“BAM bukan institusi statik. Kami cuba (mendengar Zii Jia) memahami keadaannya tanpa prejudis malah (membuat) tawaran balas untuk memastikan dia kekal kerana dia pemain No. 1 kami,” kata Norza.

Beliau berkata demikian pada Rabu selepas menghadiri majlis penyerahan bendera kepada kontinjen Malaysia sempena Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 bulan depan.

Norza bagaimanapun berkata, Zii Jia tetap dengan keputusannya dan atas alasan tersebut, pihak BAM terpaksa membawa perkara tersebut dalam mesyuarat Majlis BAM pada Isnin lepas.

“Sebagai presiden, saya sangat kecewa kerana kami berusaha keras untuk mencari pengganti yang layak selepas Datuk Lee Chong Wei.

“Semua orang, termasuk pihak berkepentingan kami turut serta untuk memastikan ada aliran tunai bagi menjayakan perkara ini.

"Ia sama seperti adik-beradik yang menyumbang untuk membantu membiayai pengajian adik-beradik lain. Mereka semua melakukan ini dengan harapan bahawa individu tersebut akan menyumbang kembali kepada keluarga suatu hari nanti.

“Tetapi kemudian datang hari apabila dia beritahu bahawa dia mahu mengikut caranya sendiri. Jadi apa yang boleh kami lakukan?

“Saya beri analogi ini kerana jika pemain masih mempunyai aspirasi untuk merealisasikan impiannya, maka kami (BAM) akan bekerja keras demi kepentingan negara,” kata Norza.

Norza berkata, beliau akan menyerahkan kepada timbalannya, Datuk Seri Jahaberdeen Mohd Yunoos untuk mengendalikan perkara itu.

Beliau juga menjelaskan bahawa BAM akan menjaga maruah dan harga diri mereka dalam membuat keputusan tersebut.

“Timbalan Presiden akan bincang apa kebimbangan dan langkah yang akan diambil oleh BAM sebagai sebuah persatuan.

"Semuanya akan terjawab pada hari Jumaat, sama-sama kita tunggu," ujarnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram