Zii Jia tinggalkan BAM tanda kemelut dalaman?


  • Podium
  • Khamis, 20 Jan 2022

TINDAKAN Zii Jia keluar BAM dikatakan berlaku ketika kemelut pemecatan 253 orang atlet negara. — Bernama

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) perlu meneliti sama ada wujud kemelut dalaman dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sehingga pemain badminton utama negara, Lee Zii Jia bertindak meninggalkan BAM.

Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim berkata, jika tiada tindakan segera dilakukan, BAM dikhuatiri akan kehilangan lebih ramai pemainnya.

"Namun, apabila pemain utama negara memilih untuk keluar dari BAM, walaupun Majlis Sukan Negara (MSN) dan BAM telah melaburkan wang ringgit dan usaha yang amat besar ke atas beliau, maka KBS harus bermuhasabah.

"Saya khuatir jika terdapat masalah dalaman yang tidak ditangani, BAM akan kehilangan lebih ramai pemain mereka.

"Zii Jia keluar BAM ketika kemelut pemecatan 253 orang atlet negara dan pengurangan lebih 50 peratus elaun bagi atlet yang masih berada di bawah kontrak latihan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, pemain perseorangan lelaki utama negara, Zii Jia yang membuat keputusan meninggalkan BAM untuk bergerak sebagai pemain profesional.

Zii Jia yang juga Juara All England 2021 dan menghuni ranking ketujuh dunia telah menghantar surat peletakan jawatan kepada BAM pada 11 Januari lepas.

Mengulas lanjut, Steven berkata, kemelut sukan negara termasuk beberapa orang atlet utama negara turut ditamatkan kontrak latihan ataupun memilih untuk bersara terus merupakan krisis terburuk arena sukan negara.

"Ini merupakan krisis terburuk arena sukan negara dan akan melumpuhkan prestasi sukan Malaysia jika Menteri KBS masih gagal mengambil tindakan sewajarnya.

"Fenomena kerajaan gagal kini dilihat merebak ke KBS. Sehingga kini, menteri KBS memilih untuk membisu terhadap isu kebajikan atlet dan pembangunan sukan tanah air.

"Sebaliknya, menteri yang sama begitu pantas tampil mempertahankan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terpalit dalam kontroversi pembelian saham," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram