
PASUKAN JDT nampaknya terus merangka strategi dengan mengambil pemain yang bukan calang-calang dan terbaharu ialah Bienvenido Maranon dan Carli de Murga.
Walaupun kedua-dua pemain sudah berusia dengan Maranon, 35 tahun dan Murga, 33 tahun, kedua-duanya masih mempunyai skil permainan yang berbisa.
Ura-ura berkenaan kemasukan Maranon ke JDT sebenarnya sudah bermula awal tahun ini selepas pemain itu meninggalkan kelab lamanya, United City FC di Liga Filipina.
Maranon memulakan kerjaya bola sepaknya sejak 2005 dan sudah beraksi dengan banyak kelab di Sepanyol antaranya Villarrubia CF, CD Mostoles, La Hoya Lorca dan Socuellamos.
Kelab terakhirnya sebelum ke JDT juga merupakan juara Liga Filipina sebanyak empat kali dan dia sudah tujuh musim bersama skuad tersebut.
Pemain naturalisasi skuad kebangsaan Filipina ini juga merupakan pemenang Kasut Emas Piala AFF 2020.
Sementara itu, Murga yang juga pemain naturalisasi Filipina sebenarnya bukanlah asing di dalam liga tempatan kerana kelab sebelumnya ini adalah Terengganu FC.
Murga sebelum ini merupakan bekas kapten Terengganu FC dan berjaya membuatkan pihak lawan gerun di bahagian tengah bersama gandingannya, Shahrul Nizam.
Malah, Murga mempunyai kelebihan untuk merancang serangan dari bahagian bawah dan itu yang dilihat banyak membantu Terengganu FC sebelum ini.
Ternyata, pemilihan kedua-dua pemain ini oleh JDT dilihat sebagai amaran awal untuk pasukan lain merancang strategi khas bila bertemu pasukan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram