
RAMAI yang sudah mengetahui bahawa pemain import baharu JDT, Bienvenido Maranon merupakan pemain naturalisasi skuad kebangsaan Filipina.
Tetapi, pemain kelahiran Sepanyol itu sebenarnya telah diminta oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte untuk bermain bersama pasukan kebangsaan negara itu.
Malah, demi mendapatkan khidmat Maranon, Duterte sanggup meluluskan satu undang-undang baharu yang menjamin pemain itu supaya menjadi warganegara Filipina sekali gus melayakkannya beraksi bersama skuad kebangsaan The Azkals.
Maranon juga terus diminta untuk mengangkat sumpah menjadi warganegara Filipina sejurus undang-undang baharu itu diluluskan pada Julai 2020.
Perkara itu menunjukkan betapa pentingnya Maranon dalam skuad kebangsaan Filipina. Semestinya peminat JDT juga menagih aksi yang terbaik daripada pemain berusia 35 tahun itu.
Untuk rekod, Maranon hadir ke Filipina pada Mei 2015 untuk beraksi bersama kelab Ceres Negros FC yang bermain di Liga Filipina.
Maranon juga merupakan penjaring terbanyak di liga tersebut dan dianugerahkan sebagai pemain import terbaik sebanyak tiga kali berturut-turut iaitu pada 2017, 2018 dan 2019.
Nampaknya pemain kelab lain perlu berhati-hati ketika beraksi bersama Maranon kerana bukan Tengku Mahkota Johor sahaja yang akan melihat, malah Presiden Filipina pun pasti akan menonton aksi 'anak emasnya' itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram