KES harian baharu Covid-19 negara menunjukkan sedikit kenaikan apabila merekodkan 3,764 kes baharu pada Khamis berbanding 3,229 kes yang dicatatkan pada Rabu.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan di media sosialnya, kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara kepada 2,820,927 kes setakat ini.
Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 47 (1.2 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 3,717 (98.8 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua.
"Daripada 3,764 kes itu, sebanyak 522 adalah kes import dan 3,242 pula adalah kes tempatan manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 160 kes dan 72 kes memerlukan bantuan pernafasan," menurutnya pada Khamis.
Beliau berkata, sebanyak 3,254 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif setakat ini ialah 2,747,457 orang.
Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 17 kluster baharu direkodkan dengan 214 kluster masih aktif.
Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), beliau berkata Rt negara berada pada paras 1.00 dengan Kuala Lumpur merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.09 setakat Rabu.
Beliau juga menasihati orang ramai supaya terus mematuhi saranan dan nasihat kesihatan yang sering ditekankan antaranya menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan serius serta bilangan kes kematian sekali gus membina imuniti kelompok.
"Pengambilan vaksin dan dos penggalak dapat melindungi orang sekeliling kita daripada kemungkinan jangkitan Covid-19.
"Dengan imuniti kelompok yang terbentuk, kumpulan yang belum layak diberi imunisasi dapat dilindungi. Perlindungan untuk semua bermula daripada diri kita," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram