PENJAGA gol baharu KL City FC, Azri Ab Ghani tidak terburu-buru mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama pasukan, sebaliknya fokus untuk belajar daripada penjaga gol utama, Kevin Mendoza terlebih dahulu.
Azri, yang sah menyertai KL City FC dari Perak FC minggu lalu, mengakui tidak mudah baginya untuk merebut tempat daripada pemain Filipina itu tetapi optimis peluangnya akan tiba satu hari nanti.
Pemain berusia 22 tahun itu berkata, beliau akan memberi sepenuh komitmen kepada pasukan dan menyasarkan untuk menjadi pilihan utama pada 2023.
“Memang cabaran besar sebenarnya apabila berpindah ke KL City, tetapi yang bagusnya adalah saya akan dapat pengalaman baharu dengan Kevin.
“Ini juga akan menjadi tanggungjawab saya kerana boleh belajar dan ambil ilmu daripadanya. Kita tahu bagaimana dia melakukan tugas yang cukup baik pada tahun lepas.
“Jadi, memandangkan saya ikat kontrak selama dua tahun, untuk musim pertama ini saya akan belajar banyak benda dahulu dan selepas itu saya sasarkan musim kedua adalah musim saya untuk menjadi lebih baik," katanya.
Beliau juga berazam mahu bekerja bersungguh-sungguh bagi memikat hati ketua jurulatih, Bojan Hodak.
Dalam pada itu, Azri juga percaya dengan kemampuan pasukan untuk melakar kejutan di saingan Piala AFC 2022 berdasarkan barisan pemain sedia ada.
Beliau yang pernah tampil di kejohanan berkenaan bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 2020 berharap dapat diturunkan dalam saingan musim ini.
“Sebelum ini saya pun pernah bersaing di pentas Asia dengan Kedah dan ini tahun kedua dengan KL City pula, jadi saya anggap ia adalah rezeki yang besar untuk saya.
“Insya-ALLAH saya akan cuba sedaya upaya untuk cuba rebut tempat dengan penjaga gol lain supaya dapat diturunkan dalam kejohanan itu nanti”, ujarnya.
Pada saingan Piala AFC 2022, KL City FC diundi dalam Kumpulan H bertemu kelab Singapura, Tampines Rovers; wakil Indonesia, PSM Makassar dan kelab dari Myanmar sama ada Shan United atau Ayeyawady United. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram