MENGAMBIL alih skuad senior Selangor selepas menabur bakti bersama pasukan remaja akan menjadi satu peningkatan dalam karier bagi jurulatih yang berasal dari Jerman, Michael Feichtenbeiner.
Beliau mengendalikan pasukan Selangor II selama dua musim dalam kempen Liga Premier, memainkan peranan penting dalam membangunkan beberapa pemain muda berbakat seperti Sharul Nazeem Zulphakar, Aliff Haiqal Lau dan Ahmad Danial Ahmad Asri, yang dinaikkan ke skuad senior.
“Melangkah daripada skuad junior ke pasukan utama adalah penting, jadi saya melakukannya dengan Selangor. Kini, 50 peratus daripada pasukan feeder diserap dalam pasukan utama.
“Itulah kemajuan yang kami mahukan,” kata Feichtenbeiner, yang berpengalaman dalam membangunkan ramai pemain muda di Jerman dan Austria sebelum menyertai Selangor dua tahun lalu sebagai pengarah teknikal.
Feichtenbeiner juga bersedia untuk bekerjasama dengan pemain-pemain baharu The Red Giants iaitu pertahanan tengah Jordan, Yazan Al-Arab dan rakan senegaranya di bahagian tengah Baha Abdelrahman, serta penyerang Brazil, Herlison Caion.
Ketiga-tiga mereka akan menggantikan duo Jerman, Tim Heubach dan Manuel Konrad, serta pemain tengah Switzerland, Oliver Buff.
“Musim lalu, kami memberi tumpuan kepada tiga pemain yang boleh berbahasa Jerman untuk mengimplementasi corak permainan yang kami mahu terapkan di bawah Karsten (Neitzel), tetapi ia tidak menjadi.
“Kami memutuskan untuk menukar import, dan saya kagum dengan dua pemain Jordan itu ketika mereka menentang Malaysia pada Oktober.
“Yazan akan memberi kelebihan kepada barisan pertahanan kami manakala Baha adalah seorang ketua yang sempurna di bahagian tengah di samping pemain senior seperti Brendan (Gan) dan Safuwan (Baharuddin).
“Untuk Caion, kami sedang mencari seseorang untuk menggantikan penjaring yang terbukti seperti Ifedayo (Olusegun).
“Bukan mudah untuk menggantikan pemain yang menjaringkan banyak gol, tetapi Caion adalah seorang pemain yang berpengalaman. Saya dapat rasakan dia boleh menyesuaikan diri dengan gaya permainan kami,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram