KAPTEN Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abdul Radzak yang sempat berselisih dengan mendiang Shebby Singh ketika beliau baru keluar berbasikal petang Rabu, mengakui mendiang kelihatan penat.
Kata Aidil Zafuan yang juga pemain pertahanan skuad kebangsaan, mendiang sememangnya seorang yang aktif berbasikal dan pemergiannya itu pasti akan dirasai dalam keluarga bola sepak tanah air.
"Saya menerima berita pemergian mendiang lebih kurang jam 8 malam tadi... agak terkejut juga kerana petang tadi dalam lebih kurang jam 5.15 petang, saya sempat berselisih dengan mendiang.
“Ketika itu, mendiang baru sahaja mula berbasikal. Saya sempat mengangkat tangan kepada dia, jadi dia pun sempat mengangkat tangan semula dan keadaan dia pun memang nampak penatlah.
“Saya rasa ketika itu dia baru mula nak berbasikal kerana rumah saya dan rumah mendiang berhampiran. Namun ketika itu, cuaca agak panas.
“Pada awalnya saya terfikir siapa yang sedang berbasikal dalam keadaan panas ini, apabila sudah dekat baru saya perasan rupanya mendiang,” ujar Aidil Zafuan ketika ditemu bual pada Rabu.
Kata Aidil, mendiang sering kali dilihat keluar berbasikal di sekitar kawasan kejiranan kerana beliau memang aktif bersukan.
“Mendiang memang seorang yang aktif berbasikal, dalam kumpulan WhatsApp berbasikal, mendiang memang aktif dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.
“Semua sangat terkejut sebaik menerima khabar pemergian mendiang. Dengan pemergian mendiang, sudah tentu kita kehilangan bekas pemain yang begitu boleh dipanggil sebagai legenda, satu kehilangan besar buat keluarga bola sepak.
“Mendiang seorang yang sering memberi kritikan membina, banyak kritikan mendiang yang boleh diambil untuk memajukan arena bola sepak, itu yang saya saya rasa... pemergiannya amat dirasai,” katanya lagi.
Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh atau lebih dikenali sebagai Shebby meninggal dunia dipercayai selepas terjatuh ketika berbasikal petang Rabu. — Astro Awani
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram