Pemain terbaik Piala Malaysia ada misi jumpa JDT


  • Podium
  • Jumaat, 14 Jan 2022

ZHAFRI (kanan) menjadi antara tonggak penting kejayaan KL City pada saingan Piala Malaysia musim lalu. — The Star

PERUBAHAN waktu perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) yang diawalkan kepada 8.15 malam berbanding 9 malam mulai musim depan merupakan satu cabaran baharu bagi para pemain, namun aspek terbabit dilihat sebagai sesuatu yang positif untuk penyokong.

Menurut pemain tengah Kuala Lumpur City FC (KL City), Zhafri Yahya, pemain perlu mula membiasakan diri dengan menyusun atur rutin harian iaitu sebelum dan selepas perlawanan supaya boleh menyesuaikan diri dengan sepak mula pada 8.15 malam.

"Saya juga rasa perkara itu pasti disukai penyokong kerana memudahkan mereka untuk pulang lebih awal sekiranya esok hari bekerja," ujarnya.

Selain itu, Zhafri mengakui gembira pendekatan Malaysian Football League (MFL) berhubung format baharu Piala Sumbangsih.

Jelas Zhafri, dia dan rakan sepasukannya boleh memberikan fokus untuk memenangi Piala Sumbangsih tanpa menjejaskan rentak awal Liga Super.

“Bagi saya ini sesuatu yang bagus memandangkan kedua-dua pasukan turun buat kali pertama untuk musim baharu dan sudah pasti tiada sebarang tekanan apabila perlawanan ini tidak dikira untuk liga.

“Kedua-dua pasukan termasuk JDT (Johor Darul Takzim) sudah pasti akan cuba dapatkan momentum di awal musim namun saya harap kami boleh memenangi Piala Sumbangsih," katanya.

Zhafri merupakan antara wira kejayaan KL City sewaktu menewaskan JDT pada perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu. Dia juga dianugerahkan Pemain Terbaik Perlawanan pada aksi final berkenaan.

Terdahulu, MFL memaklumkan perlawanan Piala Sumbangsih akan diubah kepada format baharu sebagai aksi pembuka tirai tanpa melibatkan sebarang pungutan mata Liga Super, berbeza berbanding musim lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram