PENYERAHAN tugas kepada Harry Maguire sebagai kapten Manchester United (Man United) disifatkan terlalu awal oleh pemain legenda kelab itu, Rio Ferdinand.
Dia turut menyatakan bahawa posisi itu lebih layak digalas oleh David de Gea.
Maguire, 28, dilantik kapten Man United pada Januari 2020 oleh pengurus The Red Devils ketika itu, Ole Gunnar Solskjaer, lima bulan selepas dia berpindah ke Old Trafford dalam perpindahan rekod dunia £80 juta (RM452 juta) dari Leicester.
Kepimpinan pemain England itu menjadi perhatian sejak beberapa bulan kebelakangan ini terutama semasa musim lepas dengan kekalahan memalukan pasukan itu kepada musuh ketat Liverpool dan Manchester City.
Ramai mengesyaki prestasi Maguire terjejas akibat menjadi kapten kerana benteng pertahanan Man United hanya mencatatkan empat rekod bersih dalam 18 perlawanan liga utama kempen ini.
Ferdinand berkata, menjadikan bek tengah sebagai ketua pasukan itu adalah terlalu awal dan merupakan satu 'tanggungjawab besar' pada masa dia masih mencari keserasian dalam pasukan.
"Saya fikir dia diberikan tugas itu (kapten) terlalu awal. Ia adalah tugas yang cukup sukar untuk memimpin Man United.
“Menjadi kapten adalah tanggungjawab besar, anda perlu merasai pengalaman berada di sana untuk satu tempoh masa sebelum memikul tanggungjawab itu. Sebaiknya Maguire menumpukan perhatian untuk menjadi tonggak utama Manchester United terlebih dulu daripada menjadi kapten," kata legenda berusia 43 tahun itu.
Ferdinand turut mengakui kekurangan pemimpin dalam skuad pengurus sementara Ralf Rangnick, tetapi dia percaya De Gea akan menjadi pilihan yang baik untuk posisi itu apabila telah bersama Man United selama lebih sedekad.
"David de Gea akan menjadi pilihan saya kerana dia telah lama berada di sana dan dia tahu apa yang diperlukan untuk menang," ujarnya lagi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram