LEGENDA Liverpool, Jamie Redknapp mendakwa Manchester United kekurangan identiti selepas kelab tersebut tewas 0-1 di tangan Wolves dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Selasa.
Man United dilihat terumbang-ambing di separuh masa pertama dan walaupun skuad bimbingan Ralf Rangnick itu menampilkan persembahan bertenaga pada separuh masa kedua, The Red Devils tewas menerusi jaringan Joao Moutinho, minit ke-82.
Rangnick bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaik daripada para pemain Man United sejak dilantik menjadi pengurus sementara dan Redknapp percaya formasi 4-2-2-2 yang diterapkan tidak berjaya.
"Kita bercakap tentang pengurus yang datang dengan sistem 4-2-2-2 yang terkenal dan ia tidak menjadi.
"Apabila anda datang ke sini (EPL), anda perlu mempunyai pemain yang betul, tidak kira sistem apa yang anda mainkan.
"Kemudian beliau menukar kepada tiga pertahanan, hari ini beliau bermain 4-4-2 dan pada penghujungnya, beliau mengubah sistem. Tiada identiti sebenar bagaimana mereka cuba bermain," kata Redknapp.
Tambahnya, persembahan Man United menentang Wolves lebih buruk berbanding ketika pasukan itu tewas 1-4 kepada Watford yang menyebabkan pemecatan Ole Gunnar Solskjaer.
Jelas Redknapp, Man United kekurangan kawalan di bahagian tengah dan sering gagal beraksi dengan baik berbanding jiran setempat, Manchester City.
"Apabila anda menonton permainan Manchester City dan semua pasukan terbaik, mereka memiliki kawalan di bahagian tengah.
"Man United tidak pernah mengawal bahagian tengah hari ini. Tidak sekali pun, mereka melakukan hantaran antara satu sama lain," ujarnya lagi.
Redknapp juga menegaskan adalah penting Man United mencari pengurus untuk jangka masa panjang.
Ragnick dilantik menjadi pengurus sementara sehingga akhir musim sebelum meneruskan peranan sebagai penasihat di Man United selama dua tahun. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram