Tiga pilihan utama ganti Cheng Hoe


  • Podium
  • Rabu, 05 Jan 2022

CHENG Hoe meletak jawatan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.

NASIB Tan Cheng Hoe bersama Harimau Malaya sudah diputuskan apabila beliau meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad negara.

Keputusan itu dibuat susulan kegagalannya membawa Harimau Malaya sekurang-kurangnya melepasi peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki di Singapura bulan lalu.

Ada yang berduka, ada juga yang bersorak gembira dengan keputusan itu.

Tapi persoalannya, siapa bakal menjadi pengganti kerusi panas yang ditinggalkan Cheng Hoe.

Brad Maloney dilaporkan bakal memangku tugas Cheng Hoe sekurang-kurangnya sehingga bulan Mac ini ketika Harimau Malaya akan berdepan beberapa siri perlawanan antarabangsa.

Tetapi bagi jurulatih skuad remaja Arab Saudi, Ramon Marcote, Cheng Hoe merupakan individu paling layak meneruskan tugas itu tetapi beliau memahami keputusan yang dibuat mungkin adalah yang terbaik buat bekas pengendali Kedah itu.

Katanya, Brad merupakan pilihan paling dekat buat Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menggantikan Cheng Hoe.

Namun katanya ada beberapa pilihan jurulatih lain yang berpotensi untuk menggalas tanggungjawab besar itu berdasarkan prestasi mereka di Liga Malaysia.

Tiga nama besar yang disebut oleh Ramon termasuk Bojan Hodak yang kini mengemudi Kuala Lumpur City FC, Nafuzi Zain (Terengganu FC) dan Benjamin Mora (JDT).

"Tapi berdasarkan pemahaman saya, mereka masih terikat dengan kelab masing-masing," katanya.

Hodak antara nama paling panas disebut dalam kalangan penyokong yang mengharapkan jurulatih kelahiran Croatia itu kembali ke FAM.

Nama Mora juga disebut-sebut menggantikan Cheng Hoe selepas nasibnya bersama JDT dikatakan masih samar selepas kekalahan juara Liga Super itu pada perlawanan akhir menentang Kuala Lumpur City FC di final Piala Malaysia.

Manakala Nafuzi pula dilihat sebagai potensi besar untuk menggilap bakat muda Harimau Malaya berdasarkan pencapaiannya mengendalikan TFC dalam kempen Liga M. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram