KECEMERLANGAN penyerang import Brazil, Bergson Da Silva dalam skuad utama Johor Darul Ta'zim (JDT) musim ini menyebabkan Ahmad Hazwan Bakri jarang diturunkan.
Susulan itu, Ahmad Hazwan banyak menghabiskan masa bermain untuk JDT II dalam saingan Liga Perdana.
Walaupun disenaraikan dalam skuad utama, Ahmad Hazwan banyak memanaskan bangku simpanan dan hanya masuk sebagai pemain gantian pada minit-minit terakhir perlawanan.
Sejak berhijrah ke JDT pada 2017, Ahmad Hazwan hanya beraksi 50 kali dan menjaringkan tujuh gol serta satu bantuan hantaran.
Minit permainan yang terbatas menyebabkan pemain kelahiran Labuan itu difahamkan mahu berpindah ke Sabah FC kendalian Datuk Ong Kim Swee musim depan.
Ahmad Hazwan sebelum ini pernah dipanggil oleh Kim Swee untuk bermain bersama skuad kebangsaan.
Kim Swee nampaknya semakin melengkapkan 'skuad reunion' apabila dilaporkan semakin hampir mendapatkan Ahmad Hazwan.
Terdahulu, Sabah FC berjaya mendapatkan khidmat bekas anak buah Kim Swee iaitu Baddrol Bakhtiar, Mohamad Irfan Fazail dan Mohd Rizal Ghazali.
Jika berpindah ke Sabah, Ahmad Hazwan dijangka mengisi kesebelasan utama dan bergandingan dengan pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani atau Azhad Harraz di bahagian serangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram