Klopp dapat tonik jumpa Chelsea


  • Podium
  • Khamis, 23 Dis 2021

KLOPP berdepan ujian getir menentang Chelsea pada 2 Januari depan. — Reuters

LIVERPOOL akan berdepan saingan getir menentang Chelsea pada 2 Januari depan untuk mencuri peluang memperkukuhkan kedudukan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

The Reds kini menduduki tangga kedua liga, tiga mata di belakang pendahulu, Manchester City dan tiga mata mengatasi Chelsea yang mendiami kedudukan ketiga liga.

Kemenangan ke atas Chelsea bulan depan akan menjarakkan lagi jurang mata dengan skuad Thomas Tuchel yang bergelut dengan prestasi tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Lebih menggembirakan buat Jurgen Klopp, pasukannya diberi kebenaran untuk menangguhkan pemergian sementara Mohamed Salah ke Piala Negara-negara Afrika (Afcon) pada Januari depan.

Perkara itu disahkan oleh wartawan sukan ElBalad, Ismael Mahmoud yang memuat naik ciapan di Twitter berhubung status Salah.

Bagaimanapun Ismail tidak menyatakan tarikh sebenar Salah akan meninggalkan sementara Anfield untuk beraksi bersama Mesir tetapi yang penting Klopp akan mendapat khidmat pemain berusia 29 tahun itu dalam perlawanan getir tersebut.

Selain Salah, Liverpool juga akan kehilangan khidmat Sadio Mane dan Naby Keita yang akan beraksi dalam kejohanan yang sama.

Dengan rekod 15 gol dalam 18 perlawanan liga setakat ini, Salah merupakan watak penting buat Klopp untuk memastikan pasukannya mencabar kejuaraan liga pada musim ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram