Pemain Man United, Brentford tidak dibenarkan beraksi


  • Sukan
  • Selasa, 14 Dis 2021

PERLAWANAN Liga Perdana Manchester United menentang Brentford pada awal pagi Rabu ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pemain kedua-dua pasukan. — Gambar Hiasan/Agensi

PERLAWANAN Liga Perdana Inggeris (EPL) antara Manchester United menentang Brentford pada awal pagi Rabu telah ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pemain dan kakitangan The Red Devils.

Pada Isnin, operasi pasukan pertama (Man United) di Kompleks Latihan Carrington ditutup selama 24 jam untuk meminimumkan risiko sebarang jangkitan selanjutnya dalam pasukan kendalian Ralf Rangnick.

Lembaga EPL mengumumkan keputusan untuk menangguhkan perlawanan itu berdasarkan panduan daripada pakar penasihat perubatan.

Manchester United berkata dalam satu kenyataan: "Memandangkan pembatalan latihan memberi gangguan kepada skuad, kelab meminta perlawanan diatur semula memandangkan kesihatan pemain dan kakitangan sentiasa menjadi keutamaan."

Aksi EPL antara Brighton Hove Albion dan Tottenham pada Ahad turut ditangguhkan selepas beberapa orang disahkan positif dalam kalangan pemain dan kakitangan di kelab itu.

Kedua-dua perlawanan itu ditangguhkan selepas EPL mencatatkan angka tertinggi kes Covid-19 untuk tempoh tujuh hari dengan 42 ujian positif melepasi 40 kes sejak Januari. Keputusan ujian itu hasil daripada sejumlah 3,805 ujian yang dijalankan pada 6 hingga 12 Disember.

"Dengan kesihatan pemain dan kakitangan menjadi keutamaan, dan memandangkan peningkatan kes Covid-19 baru-baru ini di seluruh negara, EPL memperkenalkan semula Langkah Kecemasan.

"Ini termasuk protokol seperti ujian yang lebih kerap, memakai pelitup muka semasa berada di tempat tertutup, memerhatikan penjarakan sosial dan mengehadkan masa rawatan", tambah Lembaga EPL.

Walaupun butiran pemain dan kakitangan yang positif tidak didedahkan, kesemua kelab Tottenham, Manchester United, Leicester City, Brighton dan Aston Villa telah mendedahkan mereka mempunyai kes Covid-19.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram