Sudah tiba masanya FAM ambil jurulatih dari Korea?


  • Podium
  • Selasa, 21 Dis 2021

CHENG Hoe tewas dari segi taktikal di tangan dua jurulatih Korea Selatan, Shin Tae Yong dan Park Han Seo. — Gambar AFF

PERJALANAN skuad Harimau Malaya dalam kempen Piala Suzuki AFF 2020 terhenti pada Ahad selepas hanya menduduki tangga ketiga Kumpulan B.

Dua jurulatih Korea Selatan seakan-akan menjadi mimpi ngeri buat ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe pada edisi yang berlangsung di Singapura itu, sekaligus menyebabkan skuad negara gagal mengulangi pencapaian layak ke perlawanan akhir tiga tahun lalu.

Setelah tewas 3-0 kepada Vietnam yang dibimbing Park Han Seo, anak buah Cheng Hoe sekali lagi tunduk kepada DNA Korea Selatan apabila mudah dijinakkan 1-4 oleh Indonesia di bawah bimbingan Shin Tae Yong.

Mungkin ada yang memberi alasan bahawa tempoh persiapan yang singkat menyebabkan skuad negara gagal menyerlah pada edisi kali ini, tetapi Cheng Hoe jelas gagal menyaingi taktikal yang diterapkan oleh kedua-dua jurulatih Korea Selatan tersebut apabila pemain negara kelihatan hilang arah ketika bertemu kedua-dua pasukan itu.

Indonesia yang muncul juara Kumpulan B bakal bertemu naib juara Kumpulan A, Singapura manakala Vietnam bakal berdepan cabaran juara 2016 yang juga merupakan pemenang terbanyak kejohanan, Thailand.

Kesemua empat pasukan yang layak ke peringkat separuh akhir adalah di bawah bimbingan jurulatih warga asing.

Tiga daripadanya adalah di bawah bimbingan ketua jurulatih dari Asia Timur iaitu Tae Yong dan Han Seo daripada Korea Selatan, serta jurulatih pasukan Singapura, Tatsuma Yoshida yang berasal dari Jepun.

Hanya Thailand yang menggunakan khidmat ketua jurulatih dari Eropah iaitu Alexandre Polking yang berasal dari Jerman.

Malah, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menggunakan khidmat anak tempatan sebagai ketua jurulatih pada edisi kali ini.

Untuk rekod, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak pernah melantik ketua jurulatih daripada negara Asia untuk membimbing pasukan kebangsaan.

Sejak 2005, hanya sekali warga asing dipertanggungjawabkan untuk membimbing Harimau Malaya, iaitu jurulatih Portugal, Nelo Vingada pada tahun 2017 yang hanya sempat mengendalikan tujuh perlawanan sebelum meletak jawatan.

Mungkin sudah tiba masanya FAM mempraktikkan 'Dasar Pandang ke Timur' yang pernah diamalkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu sehingga negara pernah digelar sebagai 'Tiger of Asia'.

Atau mungkin juga FAM masih dibuai mimpi dengan kejayaan anak tempatan, Datuk K Rajagopal yang menjulang Piala AFF pada tahun 2010 dan berharap perkara itu boleh diulangi oleh jurulatih tempatan lain.

Bukanlah mahu menidakkan kemampuan anak tempatan, tetapi buat masa ini harus diakui bahawa taraf jurulatih tempatan masih lagi ketinggalan berbanding jurulatih Korea Selatan.

Jika FAM mahu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di bumi Singapura, ada baiknya ia dimulakan dengan menggantikan Cheng Hoe sebagai langkah pertama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram