Salah desak Liverpool selesaikan isu kontrak


  • Podium
  • Isnin, 06 Dis 2021

SALAH mula menyarung jersi Liverpool sejak 2017. — Reuters

MOHAMED Salah menggesa Liverpool menyelesaikan masalah kontrak yang timbul antara kedua-dua pihak, dengan menegaskan dia tidak mahu meninggalkan kelab itu.

Kontrak pemain antarabangsa Mesir itu masih berbaki sehingga musim panas 2023 dan The Reds mahu mengemukakan syarat baharu namun tiada persetujuan sedemikian dicapai.

Pada usia 29 tahun, pemain itu sudah memasuki tahun kemuncaknya sebagai pemain bola sepak dan dia muncul antara pemain yang terbaik di dunia sekarang setelah berjaya menjaringkan 13 gol dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selain turut mencetak enam gol di pentas Eropah.

“Saya mengatakannya beberapa kali, jika keputusan itu terpulang kepada saya, saya mahu kekal di Liverpool. Tetapi keputusan di tangan pengurusan dan mereka perlu menyelesaikan isu ini,” kata Salah.

Dia juga berkata bahawa mereka perlu mencapai persetujuan untuk kontrak itu.

“Nilai kewangan seseorang pemain menunjukkan betapa kelab menghargai pemain itu dan mereka bersedia melakukan apa sahaja untuk pemain itu kekal. Tetapi, keputusan itu sendiri tidak berdasarkan perkara kewangan sahaja.

“Ada perkara lain yang dilihat seperti cita-cita pasukan, jurulatih dan apa yang jurulatih itu mahu lakukan dengan pasukan serta pemain yang dia mahukan. Ini semua perkara penting semasa membuat keputusan," tambah Salah.

Dalam pada itu, bercakap mengenai minat Barcelona terhadapnya, Salah berkata ia adalah sesuatu yang menggembirakan kerana pasukan seperti Barcelona berminat dengannya namun dia gembira bersama The Reds dan hanya menunggu apa yang akan berlaku nanti.

"Pada masa ini, saya lebih suka kekal dalam EPL kerana ia adalah liga terkuat di dunia," kata Salah.

Pada Sabtu, Salah telah membantu Divock Origi menjaringkan gol tunggal semasa menewaskan Wolves 1-0 dalam aksi EPL. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Salah, Liverpool, The Reds, kontrak, Wolves, Barcelona