Saya tak anggap ini perlawanan terakhir saya — Faisal


  • Podium
  • Jumaat, 17 Dis 2021

FAISAL (tengah) yakin Harimau Malaya mampu melakar kejutan dalam pertembungan dengan Indonesia. — Gambar Ihsan FAM

PEMAIN sayap Harimau Malaya Mohamad Faisal Abdul Halim tidak rela melihat pasukan negara tersingkir awal pada peringkat kumpulan dalam saingan Piala AFF 2020, dan menjadikan kemenangan ke atas Indonesia sebagai misi wajib Ahad ini.

Pemain berusia 23 tahun itu, yang menyertai latihan pasukan pada Isnin lepas setelah dikuarantin 10 hari kerana positif Covid-19, menganggap pengorbanan meninggalkan keluarga tidak berbaloi sekiranya beliau sekadar beraksi dalam satu perlawanan.

Skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe perlu menewaskan pasukan Garuda untuk mara ke separuh akhir, katanya pada sidang media secara maya dari Singapura, pada Jumaat.

Beliau memberitahu bahawa dirinya juga sudah bersedia sepenuhnya jika diberikan peluang beraksi pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu.

"Memang sukar bagi saya, sangat sedih, tapi saya kena terima apa sahaja dugaan dan fikir secara positif. Sepanjang 10 hari kuarantin, saya tetap berlatih bagi mengekalkan kecergasan dan setelah kembali bersama pasukan, Alhamdulillah, saya dapat ikut rentak pasukan.

"Saya perlu membuat sesuatu di luar kemampuan, di luar jangkaan orang. Saya tak anggap ini perlawanan terakhir saya dan rakan sepasukan...apa cara sekali pun kita kena menang dalam perlawanan ini untuk ke separuh akhir.

"Ini kempen Piala AFF pertama bagi saya...sebelum datang Singapura pun saya dah kata pada diri sendiri, ini peluang terbaik untuk membuktikan saya mampu bermain di peringkat tertinggi,” katanya.

Faisal yang mesra disapa ‘Mickey’ terpaksa melupakan tiga aksi pertama Kumpulan B ketika Malaysia membenam Kemboja 3-1 pada 6 Disember dan Laos 4-0 pada 9 Disember sebelum kecundang 0-3 kepada juara bertahan, Vietnam pada 12 Disember.

Pemain kelahiran Seberang Jaya, Pulau Pinang itu dan penjaga gol Khairulazhan Khalid didapati positif Covid-19 selepas melakukan ujian PCR ketika tiba di Singapura pada 3 Disember, dan kembali menyertai pasukan sehari selepas aksi menentang Vietnam.

Mengulas mengenai Indonesia yang terikat tanpa jaringan bertemu Vietnam pada Rabu lepas, Faisal yang merupakan antara tonggak Terengganu FC musim ini, berkata beliau sudah biasa menghadapi pemain pertahanan import dalam Liga Super.

"Kita dah kaji dan analisis video perlawanan Indonesia, aksi pertama dan kedua mereka memang jauh berbeza berbanding bertemu Vietnam (corak bertahan), dan tak mustahil mereka main taktikal yang sama ketika menentang kita. Pada masa sama, mereka juga risau sekiranya bermain secara bertahan dan dibolosi.

"Jadi, kita perlu jaringan awal dan tak perlu fikir Indonesia bermain macam mana. Kita kena kukuhkan pasukan untuk catat kemenangan, serta bersedia untuk ubah cara bermain sekiranya tidak dapat menghasilkan gol,” jelasnya.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan pemain pertahanan yang beraksi bersama pasukan FC Midtjylland di liga utama Denmark (Danish Superliga), Dion Cools, sudah diberi kebenaran menyertai pasukan selepas keputusan ujian PCR beliau negatif.

Malaysia dijadual bertemu Indonesia di Stadium Nasional Singapura pada 8.30 malam Ahad ini manakala Vietnam dijangka tidak menghadapi masalah menentang Kemboja pada hari sama.

Indonesia mendahului Kumpulan B dengan kelebihan jaringan walaupun berkongsi tujuh mata dengan Vietnam disusuli Malaysia di tempat ketiga dengan enam mata, Kemboja (3 mata) dan Laos tanpa sebarang mata. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram