Bekas pertahanan TFC bakal sertai JDT?


  • Podium
  • Jumaat, 17 Dis 2021

DE Murga merupakan kapten TFC pada musim lalu. — Gambar TFC

JUARA Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Isnin mengumumkan kelab itu akan membawa masuk empat pemain import bagi mengukuhkan skuad menghadapi saingan musim depan.

Pengarah Sukan JDT, Martin Prest dalam satu kenyataan berkata, pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat.

Sejak beberapa hari ini, nama bekas pertahanan Terengganu FC, Carli De Murga hangat dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Harimau Selatan itu.

Ia berikutan satu gambar tular di media sosial memaparkan De Murga duduk semeja di sebuah restoran bersama Prest dan bekas pemain JDT, Kiko Insa yang kini berkhidmat sebagai ejen.

262926843_129954286127178_2814080699369246798_n

Gambar yang tular di media sosial memaparkan De Murga, Prest dan Kiko Insa di sebuah restoran. Malaysiafootballleague

Gambar itu muncul selepas kelab Pantai Timur itu mengumumkan senarai pemain yang meninggalkan pasukan itu bagi saingan musim hadapan pada 7 Disember lalu.

De Murga, yang merupakan kapten Skuad Penyu, melakukan 17 penampilan liga pada musim ini untuk membantu kelab menduduki tangga keempat.

Beliau tidak disertakan dalam skuad Filipina bagi aksi Piala AFF Suzuki 2021 akibat masalah kecederaan.

Jika benar beliau akan menyertai JDT, salah seorang daripada pertahanan import, Shane Lowry atau Mauricio dijangka akan diserap ke skuad JDT II pada musim hadapan.

Pemain berketinggian 1.8 meter itu juga dijangka memberi saingan hebat kepada Adam Nor Azlin, Aidil Zafuan, dan Sharul Saad bagi posisi pertahanan tengah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram