Menang atau pulang, Cheng Hoe terpaksa guna 'wildcard' lawan Garuda


  • Podium
  • Jumaat, 17 Dis 2021

PEMAIN sayap Malaysia Akhyar Rashid akan menyertai semula pasukan selepas tempoh kuarantinnya tamat. — The Star

JURULATIH Kebangsaan, Tan Cheng Hoe mencabar pemainnya untuk menewaskan Indonesia tidak kira apa jua cara sekalipun.

Malaysia akan menentang Indonesia dalam perlawanan terakhir Kumpulan B Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional dekat Singapura pada Ahad dan mereka perlu menang bagi melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Malaysia berdepan kesukaran apabila jatuh ke tangga ketiga Kumpulan B, dengan memperoleh enam mata daripada tiga perlawanan selepas tewas 0-3 menentang Vietnam.

Indonesia berada di tangga teratas Kumpulan B dengan tujuh mata, hanya dipisahkan oleh perbezaan gol dengan Vietnam.

Garuda menjaringkan sembilan gol dan bolos tiga ketika menentang Laos dan Kemboja, namun keputusan seri 0-0 ketika perlawanan menentang Vietnam.

Indonesia hanya memerlukan keputusan seri menentang Malaysia untuk mara ke suku akhir.

Sementara itu, Cheng Hoe mengetahui situasi genting yang dihadapi anak buahnya, namun beliau mahu lebih fleksibel berdepan dengan pihak lawan yang sukar diramal.

“Saya telah memberitahu mereka supaya menang dalam apa cara sekalipun ketika menentang Indonesia.

Ia akan menjadi satu cabaran, tetapi kami akan memasuki permainan dengan fikiran yang positif. Apa yang penting, kita kena turun padang dengan sikap yang terbaik.

“Indonesia hanya memerlukan keputusan seri, dan kami percaya mereka akan bertahan, tetapi kami juga tahu betapa pantas mereka boleh menyerang. Jadi kita kena fokus dan jangan ada sebarang kecuaian.

“Kami tidak boleh meramalkan bagaimana lawan kami akan bermain pada hari itu, jadi pemain perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya.

Pada masa sama, Harimau Malaya perlu memerhatikan pemain seperti pemain sayap Witan Sulaiman, Ricky Kambuaya dan Irfan Jaya yang sangat pantas.

Mereka juga perlu berhati-hati dengan kapten dan pemain tengah Evan Dimas, yang telah menjaringkan tiga gol.

Di bahagian pertahanan, mereka mempunyai bakat hebat seperti Rachmat Irianto, Asnawi Mangkualam dan Alfeandra Dewangga.

“Indonesia mungkin tidak mempunyai pengalaman tetapi bakat muda mereka telah menunjukkan mengapa mereka menjadi kuasa di rantau ini.

“Keputusan itu penting untuk kami, bukan gaya kami bermain. Pemain perlu mempercayai satu sama lain, bekerja keras, mencipta peluang dan menjaringkan gol. Kalau kita tak beri persembahan terbaik, mereka akan hentam kita," tegasnya.

Cheng Hoe menerima khabar gembira apabila pemain pertahanan Dion Cools tiba di Singapura untuk memperkuatkan skuadnya dan kepulangan pemain sayap Akhyar Rashid yang bakal menamatkan kuarantinnya pada Jumaat, selepas dia diuji positif Covid-19 lebih awal.

“Dion telah tiba (dari Denmark) dan kelihatan seperti bermotivasi untuk membantu kami ke peringkat seterusnya.

"Saya harap dengan kehadiran beliau akan membawa kestabilan dan kekuatan kepada kami. Akhyar juga bersedia untuk menyertai kami,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram