Cheng Hoe gesa anak buah berdisiplin bertemu Indonesia


  • Podium
  • Rabu, 15 Dis 2021

CHENG Hoe turut mengesahkan tiga pemain yang positif Covid-19 sebelum ini dibenarkan menjalani latihan. — Bernama

KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Tan Chen Hoe meminta anak buahnya untuk mengekalkan permainan berdisplin mereka ketika bertemu musuh tradisi Indonesia, pada perlawanan terakhir Kumpulan B Piala AFF di Singapura pada Ahad.

Cheng Hoe berkata, amat penting sekali untuk pasukan kekal fokus di sepanjang perlawanan bertemu Garuda itu dan menasihatkan anak buahnya terus kekal tenang ketika berhadapan situasi getir di provokasi pihak lawan atau ketika berhadapan dengan pengadil.

"Setiap kali pengadil menyalahkan anda, anda akan berasa tidak gembira dan mula membantah. Kadang kala anda akan hilang tumpuan dan benda yang paling teruk anda boleh dibuang padang oleh pengadil.

"Saya sering menasihatkan pemain, yang saya tidak suka melihat mereka mempertikaikan pengadil ataupun pemain lawan. Walau apa pun kita hanya perlu fokus kepada pemainan kita dan cuba bermain dengan baik dalam perlawanan tersebut,” katanya dalam sidang media maya pada Rabu.

Jurulatih berusia 53 tahun itu turut mengingatkan pasukannya bahawa mereka perlu berhati-hati dengan pasukan Indonesia kerana mereka mempunyai pemain dengan tempo pergerakan yang tinggi dan perlu fokus kepada perubahan permainan daripada bertahan kepada menyerang dan sebaliknya, bagi memecahkan motivasi pasukan di bawah kendalian jurulatih Korea Selatan, Shin Tae-yong.

Bekas jurulatih Kedah itu juga berharap untuk melihat anak buahnya akan menjelmakan semula permainan bertahan yang ditunjukkan dalam dua perlawanan awal menentang Kemboja dan Laos, dan menyempurnakan semua peluang untuk mendapatkan gol ketika bertemu Indonesia.

"Jika kita lihat dalam dua perlawanan awal, Indonesia memang nampak ada kekuatan dan kita akan nilai sejauh mana mereka menentang Vietnam hari ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap pemainnya tidak akan melayan sebarang provokasi daripada media Indonesia, pada ketika mereka mula menyiarkan berita mengenai perlawanan bertemu Malaysia dalam laporan mereka, dengan mengatakan ‘ia perkara biasa setiap kali mereka bertemu Malaysia’.

Sementara itu Cheng Hoe mengesahkan yang tiga pemain iaitu penjaga gol Muhammad Khairulazhan Mohd Khalid, pemain saya Muhammad Faisal Abdul Halim dan pertahanan Quentin Cheng, akan mula mengikuti latihan petang Rabu.

Tiga pemain tersebut antara empat diuji positif Covid-19 telah diberikan kebenaran untuk menyertai semula latihan bagi menghadapi perlawanan terakhir Kumpulan B pada Ahad, selepas menerima surat pelepasan dari Kementerian Kesihatan Singapura pada Selasa.

Seorang lagi pemain Muhammad Akhyar Abdul Rashid pula masih belum menamatkan tempoh 10 hari arahan pengasingan.

Beliau juga gembira untuk melihat keharmonian dalam pasukan kerana mereka telahpun melupakan kekalahan 0-3 kepada juara bertahan Vietnam dan berharap mereka akan bersedia secara mental dan fizikal dalam latihan sebelum pertemuan dengan Indonesia. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram