'Kami orang Vietnam memang makan babi, tak salah jika anda hormat itu'


PEMAIN Vietnam sebelum ini mengeluh kepada pihak penganjur Piala AFF Suzuki kerana tidak diberi hidangan daging khinzir. — Gambar penganjur Piala AFF Suzuki

BARU-BARU ini, tular di media sosial mengenai skuad Piala AFF Suzuki Vietnam yang mengeluh kepada pihak penganjur kerana tidak diberi hidangan daging khinzir.

Berita itu tersebar meluas sehingga ke negara ini dan mendapat perhatian daripada penyokong bola sepak dan juga pengguna media sosial.

Terdapat sebahagian netizen yang kurang sensitif mentertawakan dan mempersendakan permintaan skuad Vietnam itu di media sosial.

Perkara itu mengundang rasa marah dan juga sedih dalam kalangan penyokong Vietnam yang menyifatkan kata-kata itu sebagai tidak menghormati budaya negara lain.

Seorang penyokong Vietnam membuat keputusan untuk meluahkan perasaannya di Facebook Sabah FC Fan pada Rabu mengenai isu tersebut.

Pengguna Facebook yang dikenali sebagai Minh Min Art itu berkata, sukan bola sepak sepatutnya menyatukan penyokong-penyokong walaupun berlainan agama, bangsa dan negara dan bukannya menyebabkan perpecahan.

Screenshot 2021-12-15 175806

Hantaran Facebook daripada seorang penyokong Vietnam.

"Hello kawan-kawan Malaysia. Saya datang dari Vietnam. Bola sepak adalah sukan, pasukan bola sepak adalah seteru, kita bukan musuh.

"Saya harap negara anda tidak mempersendakan imej negara lain. Menang atau kalah adalah adat dalam permainan.

"Anda kata kami makan daging babi, kerana negara anda negara Islam. Setiap negara ada budaya masing-masing, mari kita hormati perkara itu.

"Bola sepak tidak ada kena mengena dengan politik, agama, budaya," katanya.

Dia turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Malaysia dan berharap skuad Harimau Malaya menang dalam perlawanan seterusnya, agar bola sepak Asean terus berkembang maju.

Hantarannya itu mendapat reaksi positif netizen di ruangan komen yang bersetuju dengan pandangannya itu dan berharap persaudaraan antara negara-negara Asean terus utuh dan maju. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram