Status Twitter Jordan Mintah cetus tanda tanya


  • Podium
  • Khamis, 16 Dis 2021

MINTAH (tengah) baru sahaja menandatangani kontrak baharu bersama TFC sehingga 2023. — Bernama

PENYERANG Terengganu FC (TFC), Jordan Mintah mencetuskan tanda tanya mengenai masa depannya selepas memuat naik satu ciapan di laman Twitter pada Khamis.

"Apabila kepercayaan telah dikhianati, kita boleh kekal di rumah #NextTeamHomeComing," ciapnya.

Screenshot 2021-12-16 at 4.24.31 PM

Ciapan Mintah pada Khamis yang mencetuskan tanda tanya mengenai masa depannya.

Pada 7 Disember lalu, TFC baru sahaja mengumumkan penyerang itu akan kekal bersama kelab sehingga tahun 2023.

TFC difahamkan bakal menyempurnakan perpindahan bekas penyerangnya pada tahun 2017 hingga 2019, Tchetche Kipre daripada Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam masa terdekat.

KDA FC pada Rabu juga sudah mengucapkan selamat tinggal kepada pemain itu di Facebook.

Kehadiran Kipre, ditambah dengan seorang lagi bekas penyerang KDA FC, Kpah Sherman yang tiba lebih awal sebelum ini, dijangka akan menutup peluang buat Mintah dalam kesebelasan utama pasukan.

Menurut sumber, pihak pengurusan bercadang untuk menyerap Mintah ke pasukan TFC II bagi saingan musim hadapan.

Beliau yang dinaikkan pangkat ke pasukan utama daripada TFC II musim lalu pastinya tidak akan gembira jika terpaksa kembali ke saingan Liga Premier.

Khabar angin juga mengatakan beliau mungkin akan dipinjamkan ke kelab Liga Super lain pada musim 2022 bagi mengelakkan ketidakpuasan hati.

Antara kelab yang disebut-sebut berminat untuk mendapatkan khidmat beliau adalah Selangor FC, yang kehilangan penjaring terbanyak Liga Super, Ifedayo Olusegun yang berhijrah ke Melaka United. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram