KELAB Liga Premier, Kelantan FC melakukan rombakan secara besar-besaran bagi saingan musim depan dengan hanya mengekalkan beberapa muka lama.
Kelab itu dalam satu hantaran Facebook pada Isnin mengumumkan pemain-pemain yang akan terus menyarung jersi The Red Warriors pada musim 2022.
Antara pemain yang dikekalkan adalah Nik Mohd Amin Ahmad, Asfa Abidin, Ghaffar Rahman, Yusri Yushamadi dan Zubir Azmi.
Selain itu, Arip Amiruddin, Syed Sobri Syed Mohamad, Mior Dani Armin, Dzulfahmi Abdul Hadi dan Nushamil Abdul Ghani turut kekal di Stadium Sultan Muhammad IV.
Skuad bimbingan Rezal Zambery itu bagaimanapun masih belum mengumumkan senarai pemain import yang bakal dibawa masuk bagi membantu kelab mencapai impian kembali ke Liga Super.
Situasi itu jelas menimbulkan kebimbangan peminat fanatik TRW sama ada mampu tampil lebih garang musim depan seandainya pihak pengurusan nekad membuat keputusan untuk tidak menggunakan khidmat pemain import bagi mengimbangi dana kantung kelab.
Kelantan FC menduduki tangga keenam Liga Premier musim ini dan tersingkir daripada peringkat kumpulan Piala Malaysia apabila menduduki tangga tercorot kumpulan D yang turut melibatkan Johor Darul Takzim, Sabah FC dan Petaling Jaya City. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram