KETUA jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan sebelum ini pernah dikritik oleh para peminat pada awal musim lalu gara-gara prestasi Melaka United ibarat yo-yo.
Malah, Melaka United hampir melangkah ke zon penyingkiran ketika liga berbaki empat perlawanan lagi sebelum sebuah syarikat pengeluar sarung tangan, KenTeam Sdn Bhd (KenTeam) mengambil alih pengurusan pasukan terbabit.
Zainal Abidin kemudiannya dikekalkan sebagai ketua jurulatih oleh pengurusan baharu dan membalas kepercayaan itu apabila memastikan Melaka United kekal dalam Liga Super musim depan serta membawa pasukan berkenaan layak sehingga ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.
Selepas tiga tahun Zainal Abidin membimbing Melaka United, pasukan itu masih belum menggapai sebarang kejuaraan dan kali terakhir pasukan tersebut meraih trofi adalah pada 2016 iaitu juara Liga Premier.
Bagaimanapun, nasib Zainal Abidin dikhabarkan masih menjadi tanda tanya para penyokong Melaka United selepas pihak pengurusan sedang mencari calon ketua jurulatih baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Pihak pengurusan Melaka United dilaporkan mengintai penolong jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Nenad Bacina dan seorang lagi jurulatih import dari Portugal untuk menggantikan Zainal Abidin.
Wujud khabar angin bahawa Zainal Abidin berkemungkinan akan dinaikkan pangkat menjadi Pengarah Teknikal Melaka United.
Dikhabarkan berlaku campur tangan dalam soal pengurusan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) sehingga menyebabkan masa depan Zainal Abidn masih menjadi tanda tanya sama ada kekal sebagai jurulatih ataupun tidak.
Nenad Bacina sebelum ini dikaitkan dengan posisi ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) bagi menggantikan Nafuzi Zain namun ia sekadar khabar angin.
Bacina memiliki pengalaman luas sebagai ketua jurulatih apabila pernah membimbing Penang FC, Johor Darul Ta'zim (JDT) II serta beberapa kelab Singapura seperti Tampines Rovers, Hougang United dan Woodlands.
Bacina juga masih segar dengan kejayaan membantu KL City FC bersama-sama ketua jurulatih, Bojan Hodak memenangi Piala Malaysia baru-baru ini.
Namun, kem MUSA dilaporkan berantakan ekoran ada sebahagian pengurusan MUSA masih menaruh kepercayaan terhadap sentuhan Zainal Abidin berbanding melantik jurulatih baharu termasuk Bacina musim depan.
Majoriti sedang menunggu respons balas lanjut daripada pihak pengurusan MUSA berhubung status Zainal Abidin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram