SELEPAS pemain pertahanan Korea Selatan, Jang Suk-won sah meninggalkan Melaka United dan berhijrah ke Kedah Darul Aman FC (KDA FC), kini seorang lagi tonggak pertahanan tengah pasukan berkenaan dikhabarkan mencari destinasi baharu musim hadapan.
Hanya semusim menabur bakti buat Melaka United, Khairul Helmi Johari sedang mengintai peluang untuk bermain bagi pasukan baharu musim depan.
Dua pasukan difahamkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya iaitu Penang FC dan Perak FC.
Bersama Melaka United, Khairul Helmi hanya beraksi sebanyak lapan penampilan dan empat daripadanya adalah sebagai pemain gantian.
Pemain kelahiran Kedah itu diberikan penghormatan menyarung lilitan kapten pada perlawanan terakhir Liga Super musim ini menentang KDA FC yang berkesudahan Melaka United tewas 1-4.
Sekiranya Khairul Helmi tidak kisah untuk memanaskan bangku simpanan sekali lagi bersama pasukan baharu, Penang FC adalah destinasi sesuai baginya.
SPEKULASI membabitkan Khairul Helmi ke Penang FC atau Perak FC. — Twitter
Ini kerana, Khairul Helmi terpaksa bersaing dengan Abdul Latiff Suhaimi bagi posisi bek tengah, bergandingan dengan pemain import dari Brazil, Rafael Vitor jika berhasrat menyarung jersi Harimau Kumbang.
Dari segi pengalaman, Khairul Helmi memiliki kelebihan berbanding Abdul Latiff kerana pernah memenangi semua kejohanan domestik bersama KDA FC sebelum ini.
Bagaimanapun, jika Khairul Helmi mahukan cabaran baharu, maka Perak FC adalah destinasi terbaik buatnya. Meskipun tersingkir ke Liga Premier musim depan, namun Perak kini dimiliki oleh pengurusan baharu iaitu Impact Media Communication (IMC).
Jadi, soal gaji mungkin bukan satu isu besar lagi buat Perak FC pada musim hadapan.
Tambahan pula jika Khairul Helmi berhijrah ke Perak FC musim depan, dia dijangka akan bergandingan dengan Mohd Idris Ahmad.
Pengalaman yang dimiliki oleh Khairul Helmi tentunya membantu skuad The Boss Gaurus untuk naik semula ke Liga Super pada musim berikutnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram