KEDAH Darul Aman (KDA) FC pada Selasa secara rasminya mengumumkan penyerang import yang berasal dari Liberia, Kpah Sherman meninggalkan pasukan itu.
Sherman meninggalkan skuad Lang Merah selepas dua musim menabur bakti di Stadium Darul Aman.
Menurut KDA FC, barisan kejurulatihan berhasrat untuk mengekalkan pemain itu, namun beliau sudah membuat pilihan untuk menandatangani kontrak bersama pasukan lain.
Majoriti difahamkan, Sherman bakal berubah angin ke pantai timur dan menyarung jersi hitam putih Terengganu FC.
Pemain itu juga dilaporkan sudah bersetuju untuk menyertai skuad penyu bagi musim 2022 dan hanya menunggu perbincangan mengenai kontrak selesai.
Kelab pantai timur itu difahamkan sudah lama memantau perkembangan pemain berusia 29 tahun itu sebelum ini.
Untuk rekod, pemain berketinggian 1.83 meter itu sudah beraksi di Liga M selama lima musim, bersama pasukan MISC-MIFA pada 2017 hingga 2018, PKNS FC pada 2019 sebelum berhijrah ke menyarung jersi Hijau Kuning selama dua musim bermula 2020.
Musim lalu, beliau merupakan penjaring terbanyak KDA FC dengan 13 gol dalam 17 penampilan liga, membantu Kedah menduduki tangga kedua liga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram