PENANG FC baru-baru ini dilaporkan bakal mengekalkan Tomas Trucha sebagai ketua jurulatihnya musim depan, sekali gus mengetepikan khabar angin tentang Nafuzi Zain berkemungkinan mengambil alih pasukan tersebut.
Pasukan itu tentunya mahu mengejar trofi kejuaraan Liga Super musim depan selepas hanya mampu berpuas hati di tempat ketiga liga musim ini.
Bagi mengukuhkan pasukan itu, Majoriti difahamkan pihak pengurusan Penang FC bakal melantik bekas jurulatih Perak dan Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt.
Selain itu, difahamkan Trucha akan diberi peranan baharu sebagai Pengarah Teknikal sekiranya bersetuju untuk kekal bersama skuad Penang FC.
Yee Fatt sebelum ini dikritik hebat oleh para penyokong Perak FC selepas mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan musim ini.
Malahan Yee Fatt terpaksa direhatkan oleh Perak FC dan tugasnya diambil alih oleh penolong jurulatih Perak, Shahril Nizam Khalil selepas 16 perlawanan liga.
Yee Fatt juga sering 'memecahkan' rekod buruk bersama Perak FC apabila tewas kepada Kuala Lumpur City FC (KL City FC) buat kali pertama dalam tempoh 13 tahun dan turut kalah kepada Sabah FC buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun.
Musim lalu, Perak FC menamatkan saingan di tempat ke-11 dengan hanya memungut 16 mata, sekali gus terpaksa beraksi di Liga Perdana musim depan.
Statistik buruk Yee Fatt bersama Perak FC itu tentunya bukan khabar baik buat para penyokong skuad Haria Penang Haria. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram