JPJ, SPRM siasat dakwaan isu lesen terbang


  • 112
  • Sabtu, 04 Dis 2021

IKLAN untuk mendapatkan lesen tanpa perlu hadir jalani ujian juga didakwa dilakukan secara terbuka di media sosial. — Gambar Hiasan

BARU-BARU ini tular di aplikasi TikTok berkaitan isu 'lesen terbang' yang didedahkan oleh seorang personaliti media sosial, Azrol Afandi Sobry.

Menerus video tersebut, Azrol Afandi mendakwa individu yang ingin mengambil lesen kenderaan hanya perlu membayar wang dan tidak perlu menghadiri ujian.

Malah, dia juga mendakwa kegiatan itu kini sudah dijalankan secara terbuka menerusi iklan di media sosial Facebook.

Terkesan dengan dakwaan tersebut, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius isu yang dibangkitkan itu.

"Menerusi hantarannya, individu berkenaan mendakwa terdapat pegawai JPJ yang terlibat secara langsung dalam aktiviti menjual lesen memandu secara haram, dengan menerima wang sogokan biarpun tidak melepasi ujian yang ditetapkan di Institut Memandu (IM).

"JPJ mengambil serius akan kenyataan tersebut dan siasatan segera akan dilakukan dengan kerjasama pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk memanggil individu berkenaan bagi mendapatkan kenyataan lanjut dan membantu siasatan Jabatan," katanya.

Dalam pada itu, JPJ juga menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku yang melibatkan warga kerja JPJ termasuk dalam aktiviti menjual lesen terbang.

Tambahnya, sehingga kini, beberapa siri siasatan SPRM telah dijalankan seperti yang dilaporkan oleh media, contohnya pada tahun 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

JPJ, TikTok, Azrul Afandi Sobry, Lesen Terbang,