Saya tak jadi rehat, JDT terlalu selesa, terlalu yakin — TMJ


  • Podium
  • Khamis, 02 Dis 2021

TUNKU Ismail menarik balik hasratnya untuk meninggalkan pasukan itu selepas kekalahan JDT pada Piala Malaysia baru-baru ini. — Gambar hiasan

KEKALAHAN pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan akhir Piala Malaysia di tangan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) Selasa, disifatkan sebagai satu ‘wake-up call’.

Pemilik kelab itu Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut ‘bertegas’ yang Harimau Selatan akan ‘kembali’.

"Saya baru ingat hendak berehat dari bola sepak tahun hadapan, tetapi apa yang berlaku membuatkan saya tidak jadi berehat. Seperti yang saya pernah katakan, ‘a wounded Tiger is always eager to bounce back’,” jelas baginda menerusi satu hantaran di Facebook rasmi Johor Southern Tigers, hari ini.

Tunku Ismail mengakui untuk tiga musim terakhir ini, JDT telah menjadi terlalu selesa, terlalu yakin sehinggakan tidak mengeluarkan belanja untuk skuad.

"Tetapi kini selepas apa yang terjadi, kami akan mula berbelanja semula kerana kami sudah dicabar. Ia akan menjadikan kami lebih bermotivasi untuk bertanding tahun hadapan.

"Saya anggap kekalahan adalah positif untuk JDT. Kami akan menjadi lebih ‘obses’ untuk memperbaiki kesilapan kami dan menguatkan lagi pasukan ini,” titahnya.

Justeru, baginda bertitah pasukan itu akan menjalani latihan pra-musim di Dubai dan Abu Dhabi untuk bermain dengan beberapa kelab tempatan di sana serta kelab-kelab Eropah, sebagai persiapan untuk menghadapi musim akan datang.

Tunku Ismail turut mendedahkan ada beberapa pemain akan dikekalkan, ada yang akan dipinjamkan keluar dan ada pemain yang akan dilepaskan.

"Pengarah Teknikal JDT (Alistair Edwards) akan membuat pengumuman kepada para penyokong dengan lebih mendalam lagi nanti,” titah baginda.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Johor itu turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada setiap penyokong dan keluarga Kelab Bola Sepak JDT.

Baginda turut menzahirkan syabas dan tahniah kepada setiap individu dalam kelab - pemain, barisan kejurulatihan dan kakitangan, kerana berjaya mencipta sejarah sebagai satu-satunya kelab yang menang kejuaraan liga lapan tahun berturut-turut, dan layak untuk peringkat tertinggi dalam Asia iaitu Liga Juara-Juara AFC.

Pada perlawanan akhir dua hari lepas, KL City menjulang trofi Piala Malaysia selepas penantian 32 tahun dengan menewaskan JDT 2-0 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram