Messi 'rompak' Ballon d'Or dari Ronaldo, Lewandowski


  • Podium
  • Khamis, 02 Dis 2021

DENGAN kemenangan itu, Messi (kiri) kini memiliki dua Ballon d'Or lebih banyak daripada Ronaldo. — Agensi

BINTANG Manchester United, Cristiano Ronaldo dilihat masih tidak berpuas hati dengan kemenangan seterunya, Lionel Messi yang merangkul anugerah Ballon d'Or ketujuhnya kali ini.

Ronaldo sebelum ini menimbulkan persoalan selepas tidak hadir ke acara kemuncak anugerah berkenaan yang berlangsung di Theatre du Chatelet, Paris, Perancis pada awal pagi Selasa.

Namun, pemain Portugal itu dalam satu hantaran Instagram menafikan ketiadaannya pada acara itu disebabkan dia tidak berpuas hati dengan kemenangan bintang Paris Saint-Germain itu.

Pada Rabu, Ronaldo sekali lagi menunjukkan dirinya seolah-olah tidak berpuas hati dengan kemenangan Messi selepas bersetuju dengan satu hantaran di laman Instagram peminatnya yang mengatakan bahawa bintang Argentina itu 'merompak' anugerah tersebut daripadanya dan penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski.

Lewandowski berada di kedudukan kedua dengan 33 mata kurang berbanding Messi yang meraih 613 mata, manakala Ronaldo menamatkan kedudukan di tangga keenam dengan 178 mata.

Menerusi hantaran tersebut, peminat itu menyelar keputusan penganjur yang memberikan Messi anugerah tersebut dan membandingkan trofi yang dimenangi oleh Ronaldo dan Messi tahun ini.

Peminat itu turut merendah-rendahkan pencapaian Messi dan mengatakan bahawa Ronaldo seharusnya yang bersaing untuk merebut anugerah tersebut.

IMG_7872

HANTARAN Instagram dimuat naik oleh peminat Ronaldo yang turut dipersetujui oleh bintang Portugal itu. — Instagram

"Kecurian. Kotor. Memalukan. Dukacita.

“Siapa yang melihat, lihat. Sesiapa yang cukup bijak tahu siapa sebenarnya yang layak.

"Menerima anugerah tanpa memperolehnya adalah kebahagiaan yang palsu, tanpa kebanggaan.

"Tidak kira apa yang berlaku pada anugerah ini, CR7 akan sentiasa menjadi yang terbaik dalam sejarah!" tulis peminat itu.

Di ruangan komen, Ronaldo membalas hantaran tersebut dengan menulis "fakta", yang menunjukkan dia bersetuju dengan dakwaan peminatnya itu.

Ronaldo menamatkan saingan di luar kedudukan tiga teratas anugerah berprestij itu buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun.

Dengan kemenangan itu, Messi kini mempunyai dua Ballon d'Or lebih banyak daripada Ronaldo yang menang lima kali sepanjang kariernya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram