PEMAIN Terbaik final Piala Malaysia 2021, Zhafri Yahya mengesahkan beliau akan kekal bersama KL City pada musim hadapan.
Pada masa sama, dia menyifatkan gelaran juara Piala Malaysia yang diraih bersama Kuala Lumpur (KL) City FC (KL City) sebagai kejayaan terulung dalam kariernya setakat ini.
"Saya dengan Kuala Lumpur sudah enam tahun, ini adalah pencapaian paling tinggi saya dapat dan saya betul-betul berterima kasih kepada jurulatih (Hodak) sebab dia yang telah mengenal pasti posisi yang saya gemari, yang saya suka.
"Malam ini (Selasa) mungkin saya terlepas dua peluang tapi akhirnya saya dapat satu peluang betul-betul saya tak mahu lepaskan. Gol pertama itu beri semangat kepada pasukan dan kami ke final bukan sebagai pasukan pilihan tapi kami cuba fokus 90 minit untuk tidak kalah dengan JDT (Johor Darul Takzim),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perlawanan akhir Piala Malaysia yang menyaksikan KL City menewaskan juara bertahan JDT 2-0 di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini malam Selasa.
Zhafri, 27, telah bersama KL City yang dikenali sebagai Kuala Lumpur sebelum ini sejak mula dipinjamkan daripada Selangor enam musim lepas, yang menyaksikan skuad Warga Kota menempuh saat dinaikkan dan disingkirkan daripada saingan Liga Super sepanjang tempoh itu.
Pemain tengah berasal dari Klang, Selangor itu berterima kasih kepada pengendali pasukan Bojan Hodak yang telah memainkan peranan terhadap gaya permainan dan prestasinya pada musim ini khususnya dalam kempen Piala Malaysia.
Jaringan Zhafri pada minit ke-66 memecah kebuntuan aksi final ulang tahun ke-100 Piala Malaysia itu sebelum kapten pasukan Paulo Josue menggandakan kedudukan pada minit ke-74 untuk mencipta malam gemilang buat KL City dan menamatkan penantian 32 tahun penyokong Kuala Lumpur.
Kali terakhir Kuala Lumpur bergelar juara Piala Malaysia adalah pada 1989 sekali gus mencipta kejuaraan hatrik selepas turut memenanginya pada 1987 dan 1988.
Sementara itu, Zhafri berkata, faktor perbezaan yang menjadi kekuatan KL City hingga berjaya menjulang kejuaraan pertandingan berprestij itu adalah semangat kekeluargaan yang wujud dalam kalangan pemain dan pegawai pasukan.
"Dari pihak pengurusan, pemain, senior dan junior memang ‘satu kepala’ lah. Kami betul-betul ibarat sebuah keluarga. Kita bukan saja dengar arahan jurulatih tapi daripada pemain senior juga. Kita cuba analisis perlawanan dan bagaimana nak bermain menentang lawan-lawan seterusnya,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram