Mendoza tinggalkan KL City, dalam radar kelab gergasi tanah air?


  • Podium
  • Rabu, 01 Dis 2021

MENDOZA membantu KL City menjuarai Piala Malaysia musim ini. — Twitter/KL City

KUALA Lumpur City FC (KL City) melakar sejarah tersendiri apabila memenangi Piala Malaysia selepas 32 tahun kemarau trofi terbabit pada Selasa.

Dibarisi hanya dua pemain kebangsaan, Kenny Pallraj dan Muhammad Akram Mahinan serta beberapa pemain import seperti kapten, Paulo Josue dan Romel Morales, pasukan tersebut berjaya menundukkan Johor Darul Takzim (JDT) 2-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Namun belum sempat menikmati kejayaan membanggakan itu, penjaga gawang KL City, Kevin Mendoza dikhabarkan bakal meninggalkan pasukan berpangkalan di Lembah Klang itu musim depan.

Mendoza yang menyertai KL City pada Februari lalu dikhabarkan menarik minat beberapa kelab gergasi tanah air seperti JDT, Selangor FC, Terengganu FC (TFC) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Pada musim ini, Mendoza beraksi sebanyak 22 perlawanan dalam Liga Super dan merekodkan tujuh perlawanan tanpa bolos.

Pemain berdarah kacukan Denmark-Filipina itu turut beraksi cemerlang sepanjang saingan Piala Malaysia musim ini apabila membantu pasukan itu menjuarai trofi berprestij tempatan berkenaan pada Selasa.

Kehadiran Mendoza di KL City pada mulanya diragui oleh kebanyakan pihak kerana KL City memiliki ramai penjaga gawang terutamanya Mohd Zamir Selamat, Ernest Wong, Kathul Anuar Jalil dan Julian Bechler.

Pengendali KL City, Bojan Hodak tentunya mahu mengekalkan penjaga gawang terbabit musim depan.

Sebaik membantu KL City, Mendoza dilaporkan terus terbang ke Singapura bagi membantu skuad kebangsaan Filipina menghadapi saingan Piala AFF 2020. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram