Beri perhatian kesihatan mental penagih dadah


  • Sihat
  • Isnin, 29 Nov 2021

PENAGIH dadah mempunyai 'post-serenti syndrome' seumur hidup mereka. — Agensi

BARU-BARU ini, masyarakat dikejutkan dengan berita seorang pelatih di pusat pemulihan dadah di Kubang Pasu, Kedah, maut dipercayai akibat dibelasah oleh seorang warden.

Dilaporkan pelatih lelaki berusia 31 tahun itu dipijak di leher, dadanya dipukul selain ditendang tanpa belas kasihan selepas dia ditangkap kerana melarikan diri dari pusat tersebut. Lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Jitra.

Benar, mangsa adalah pesalah mengikut undang-undang kerana terbabit dalam penagihan dadah, namun wajarkah dia diperlakukan seperti penjenayah kejam yang tidak layak dikasihani?

Menurut pakar kesihatan mental, insiden itu memberi gambaran tentang stigma masyarakat terhadap penagih dadah sekalipun Klasifikasi penyakit Antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 1994 menyatakan masalah ketagihan terhadap sesuatu bahan merupakan gangguan mental dan penyakit kronik yang mudah berulang.

Ketagihan terhadap dadah seperti juga ketagihan merokok, berjudi, pornografi dan lain-lain yang perlu dirawat dan dibantu agar mereka boleh kembali ke pangkuan masyarakat, kata mereka.

Menyifatkan diskriminasi terhadap penagih dadah di negara ini pada tahap membimbangkan, Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) Dr Rusdi Abd Rashid berkata antara faktor yang menyumbang kepada keadaan itu ialah dasar negara sebelum ini yang menerapkan pendekatan 'total abstinence' atau bahasa mudah, menjauhkan diri sepenuhnya daripada terbabit dalam penggunaan bahan atau kelakuan yang boleh menyebabkan ketagihan.

Dalam pelaksanaan pendekatan itu, golongan yang terlibat dikenakan tindakan mengikut undang-undang.

"Sejak bertahun lalu, pusat serenti atau pusat pemulihan menerima pelatih secara ‘court order’ (perintah mahkamah) iaitu secara paksaan untuk menjalani ‘compulsory rehabilitation’ (pemulihan wajib) selama dua tahun yang tidak banyak bezanya seperti di penjara.

"Selepas dibebaskan, pelatih membawa stigma ‘post-serenti syndrome’ (bekas penghuni pusat serenti) seumur hidup yang mana mereka dilabelkan sebagai bekas penjenayah. Golongan ini menghadapi kesukaran untuk kembali bekerja, menyambung pelajaran dan masyarakat pula menganggap mereka sebagai sampah yang mana keluarga sendiri pun sukar menerima,” katanya.

Dr Rusdi Abd Rashid

RUSDI menegaskan ketagihan dadah perlu dirawat dan dibantu. — Agensi

Menurutnya, situasi sedemikian menghalang golongan tersebut kembali semula ke pangkuan masyarakat sedangkan penerimaan dan sokongan komuniti antara kunci utama dalam usaha memulihkan sepenuhnya bekas penagih berkenaan.

Mengulas mengenai insiden di Kedah itu, Rusdi berkata sudah tiba masa untuk pihak yang berkenaan bermuhasabah diri dan menilai semula selain menyiasat punca sebenar pelatih cuba melarikan diri daripada menjalani aktiviti pemulihan di pusat pemulihan.

Beliau juga menganggap tragedi tersebut sebagai sangat serius kerana berisiko 'membunuh' kepercayaan yang diberikan oleh keluarga pelatih kepada pihak berkuasa untuk menjaga kebajikan dan merawat saudara mereka sehingga pulih.

"Harapkan pegar, pegar makan pagi. Itulah yang boleh dikaitkan dengan insiden pelatih dipukul sehingga mati oleh warden. Penagih dadah adalah pesakit, bukannya penjenayah, jadi tidak sepatutnya dipukul sehingga mati.

"(Dalam hal ini) tanyalah diri sendiri, mahukah kita masuk ke pusat serenti atau menghantar sanak saudara ke pusat pemulihan dadah sekiranya beginilah kesudahannya,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram