Lelaki rempuh 'jaga' di KSAB, akhirnya ditahan polis Singapura


  • 112
  • Ahad, 28 Nov 2021

TANGKAP layar kejadian rempuhan di Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang dekat Iskandar Puteri dalam kejadian pada Sabtu.

SEORANG pemandu kereta Proton Iswara bertindak melanggar pengawal keselamatan selepas enggan memberi kerjasama untuk diperiksa di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Tanjung Kupang dekat Iskandar Puteri dalam kejadian pada Sabtu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam insiden pada 4 pagi itu, mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun dilanggar pemandu yang juga lelaki tempatan berumur 42 tahun.

Beliau berkata, Unit Peronda Iskandar Puteri sempat mengejar pemandu terbabit selepas menerima panggilan daripada mangsa yang mengalami cedera ringan.

"Pemandu itu melarikan diri menghala ke Singapura melalui jalan keluar lori eksport namun berjaya ditahan oleh polis Singapura,” katanya dalam satu kenyataan pada malam Ahad.

Ayob Khan berkata, individu itu akan diserahkan semula kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut selepas proses dokumentasi selesai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram