TFC bersedia jika aksi berdepan JDT ditentukan menerusi sepakan penalti


  • Podium
  • Jumaat, 26 Nov 2021

PENYERANG TFC, Jordan Mintah (kiri) meraikan gol jaringannya bersama rakan sepasukan ketika menentang JDT pada saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2021 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Isnin lalu. — Bernama

AKSI separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) sekali lagi bakal menjadi tumpuan malam ini selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Isnin lalu.

Dalam perlawanan yang hangat dengan kontroversi pengadil itu, skuad Penyu terlebih dahulu berada di hadapan menerusi tandukan Jordan Mintah seawal minit kelapan sebelum pemain kelahiran Brazil, Bergson Da Silva menyamakan kedudukan untuk JDT pada minit ke-50.

Di atas kertas, kelebihan pastinya memihak kepada JDT yang membawa bekalan satu gol tempat lawan ke Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah.

Walaupun hanya satu gol, ia pastinya sangat bermakna buat pasukan Harimau Selatan dalam menempuh baki 90 minit perlawanan di gelanggang sendiri.

Kedua-dua jurulatih pastinya mempunyai strategi dan taktikal tersendiri bagi menghadapi lawan masing-masing.

Bagi skuad Sang Penyu, kemenangan 1-0 di stadium sama dalam aksi Liga Super pada April lalu boleh menjadi pembakar semangat untuk mencipta kejayaan melayakkan diri ke perlawanan akhir, mengulangi skrip aksi separuh akhir Piala Malaysia pada 2018.

Pada edisi ke-92 itu, pasukan TFC berjaya melangkah ke perlawanan akhir selepas menundukkan JDT dengan agregat 3-2, sebelum tewas di tangan Perak menerusi penentuan sepakan penalti di final.

Jurulatih TFC, Nafuzi Zain menegaskan, walaupun JDT mempunyai kelebihan jaringan tempat lawan, beliau tidak akan menuntut anak buahnya untuk menyerang habis-habisan, sebaliknya akan tetap bermain mengikut taktikal yang sudah dirancang.

Beliau juga mengakui sudah bersedia jika perlwanan berlanjutan sehingga ke masa tambahan atau penentuan sepakan penalti.

“Kita akan bermain seperti biasa mengikut taktikal.

“Jika perlawanan berlanjutan, kita juga sudah bersedia dengan segala kemungkinan, tetapi saya harap anak buah saya dapat menghabiskan perlawanan dalam tempoh 90 minit,” katanya kepada Majoriti.

Nafuzi pastinya tidak mahu pisang berbuah dua kali kerana pernah merasai kekecewaan tewas 1-4 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3.

Ketika itu, beliau merupakan pembantu jurulatih kepada Irfan Bakti yang kini menerajui Kuching City FC.

Bagi skuad JDT kendalian Benjamin Mora pula, walaupun peluang untuk mara berpihak kepada mereka di atas kertas, sudah pasti barisan pemain Harimau Selatan tidak hanya akan duduk bertahan dan cuba memecah kubu TFC bagi melebarkan kelebihan.

Apa yang pasti, sama ada perlawanan akan tamat dalam tempoh 90 minit atau berlanjutan sehingga ke penentuan sepakan penalti, kedua-dua pasukan pasti akan menampilkan aksi hebat untuk memenuhi impian ke final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 November. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram