Pemenang kasut emas ramal pasukan pilihan ke final Piala Malaysia


  • Podium
  • Khamis, 25 Nov 2021

PEMAIN JDT Bergon Gustavo Da Silva (kanan) dikawal oleh pemain TFC, Jordan Mintah pada saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2021 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak. — Bernama

PASUKAN Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Melaka United FC menjadi pilihan legenda penyerang prolifik negara era 90-an, Hashim Mustapha untuk layak ke perlawanan akhir saingan Piala Malaysia musim ini.

Bekas pemain Kebangsaan itu berkata pilihan tersebut berdasarkan prestasi semasa yang ditunjukkan kedua-dua pasukan berkenaan dalam saingan Piala Malaysia dan Liga Super tahun ini.

"Sebagaimana kita sedia maklum, JDT ketika ini menjadi pasukan paling kuat dalam arena bola sepak negara kerana memiliki beberapa pemain kebangsaan selain menampilkan taktikal moden menarik yang diterapkan oleh jurulatih mereka.

"Melaka United pula adalah salah satu pasukan baharu yang mampu memberikan saingan kepada pasukan lain kerana prestasi semasa yang ditampilkan oleh pemain-pemain ini semakin meningkat dan menunjukkan aksi yang sangat berkualiti," katanya.

Mengulas lanjut, pemenang Kasut Emas 1993 dan 1994 itu berkata perlawanan aksi separuh akhir dua pasukan itu pastinya memberi saingan sengit kepada kesemua pasukan untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir bagi merebut piala berprestij itu.

"Perlawanan malam esok (26 Nov) sudah tentu memberikan kelebihan kepada tuan rumah iaitu JDT dan Melaka United kerana setidak-tidaknya mereka hanya memerlukan keputusan seri.

"Namun, agak mustahil kedua-dua pasukan itu turun dengan taktikal bertahan sepanjang 90 minit perlawanan kerana jika Terengganu dan Kuala Lumpur dapat menjaringkan gol peluang akan menjadi seimbang," katanya.

Perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 berlangsung pada 30 Nov ini.

Empat pasukan sedang mengintai peluang untuk ke peringkat akhir terdiri daripada juara 2019 JDT, Terengganu FC, Kuala Lumpur City FC dan Melaka United FC.

Kedua-dua aksi separuh akhir pertama antara Terengganu menentang JDT serta KL City dan Melaka United pada 23 Nov lalu, berakhir dengan masing-masing mencatatkan keputusan seri 1-1.

Piala Malaysia edisi 2020 sebelum ini dibatalkan susulan pandemik Covid-19. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram