'Pengadil jadi tumpuan JDT vs TFC'


  • Podium
  • Khamis, 25 Nov 2021

TUAN Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah. — Foto kredit/MFL

SOAL siapakah pengadil menjelang pertemuan antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) pada separuh akhir kedua Piala Malaysia 2021 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor malam Jumaat pastinya mencuri tumpuan peminat kedua-dua pasukan.

Pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada Isnin, keputusan pengadil perlawanan, Tuan Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah dilihat lebih 'mewarnai' saingan apabila teruk dipertikai ramai pihak termasuk pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Aksi itu berkesudahan seri 1-1 dan kedua-dua pasukan masih memiliki peluang yang seimbang untuk mara ke final.

Tidak mustahil, tekanan pastinya dirasai mana-mana pengadil pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim nanti terutamanya bagi memastikan segala-galanya terkawal sehingga tamat perlawanan.

Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempertahankan keputusan Tuan Mohd Yassin dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2021 tempoh hari.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram dilaporkan berkata, berdasarkan laporan terperinci disediakan pengadil penilai mendapati Tuan Mohd Yassin yang mengendalikan aksi itu bertindak 'neutral' dan tidak menyebelahi mana-mana pasukan.

Beliau berkata, tiga kad kuning dilayangkan Tuan Mohd Yassin membuktikan pengadil bertaraf FIFA itu tidak 'memilih bulu' dengan tetap mengenakan tindakan ke atas pemain JDT.

Selain pertemuan antara JDT-TFC, satu lagi aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2021 membabitkan pertemuan antara Melaka United dan Kuala Lumpur City di Stadium Hang Jebat, Melaka malam Jumaat. Kedua-dua pasukan juga terikat menerusi agregat 1-1.

Pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) masih belum mengeluarkan senarai pengadil dan pembantu pengadil bagi kedua-dua aksi separuh akhir kedua setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram