Calon pengganti Kim Swee sebagai Pengarah Teknikal FAM diketahui Januari depan


  • Podium
  • Isnin, 15 Nov 2021

FAM masih meneliti senarai calon berkaliber untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengarah teknikal, kata Saifuddin. — Bernama

INDIVIDU yang akan mengisi kekosongan jawatan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang ditinggalkan Datuk Ong Kim Swee dijangka diketahui pada awal Januari depan.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya masih meneliti senarai calon berkaliber untuk menggalas tanggungjawab itu yang bukan sahaja perlu menyediakan penggredan dan pendidikan kepada barisan jurulatih, malah memantau serta membimbing mereka.

Beliau berkata, pengumuman mengenai perkara berkenaan dijangka dilakukan badan induk itu selepas segala proses pemilihan yang sedang giat dilakukan selesai.

"FAM akan adakan satu sidang media pada 3 Januari apabila kita selesai dengan semua proses pelantikan jawatan itu. Kita mempunyai terlalu ramai calon," katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM di Kelana Jaya pada Isnin.

Ditanya sama ada individu dari luar negara atau anak tempatan menjadi pilihan FAM, Mohd Saifuddin berkata, keputusan dibuat berdasarkan pencapaian dan reputasi cemerlang dimiliki calon, selain mengambil kira pandangan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

"Kita belum putuskan (pakar luar negara atau tempatan), itu adalah berdasarkan kepada pengalaman individu tersebut. Kita juga kena dapatkan pengesahan daripada FIFA dan AFC. Kita mahukan yang terbaik," katanya.

Selain menyediakan pelan dan memantau perkembangan semasa jurulatih, Pengarah Teknikal turut berperanan memastikan pasukan kekal bermain mengikut falsafah ditetapkan yang akan meningkatkan keupayaan teknikal pemain supaya dapat mencapai potensi mereka.

Pada September lalu, Kim Swee yang dilantik sebagai Pengarah Teknikal FAM pada 1 Januari tahun ini, mengumumkan peletakan jawatan susulan menerima tawaran sebagai ketua jurulatih pasukan Liga Super, Sabah FC.

Beberapa nama sebelum ini dikaitkan untuk mengisi jawatan ditinggalkan Kim Swee antaranya Pengarah Teknikal Sarawak United FC, B. Sathianathan dan Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Saad Ichalelene.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Saifuddin berkata, FAM kini melihat Stadium Nasional di Bukit Jalil sebagai venue utama bagi menganjurkan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun tahun depan, jika berjaya membida menjadi satu daripada enam venue berpusat pusingan kelayakan itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram