HANYA selangkah untuk mara ke separuh akhir, pengendali Melaka United FC Zainal Abidin Hassan optimis dengan kemampuan pasukannya dalam misi mencari kemenangan di laman sendiri malam Khamis, sekali gus mengukir sejarah baharu pasukan itu pada edisi ke-100 Piala Malaysia.
Beliau berkata biarpun membawa bekalan kemenangan 1-0, namun Zainal mengingatkan anak buahnya supaya tidak leka pada pertemuan timbal balik suku akhir di Stadium Hang Jebat itu, selain mengekalkan momentum dan prestasi terbaik serta mengurangkan kesilapan.
"Bagi kita keyakinan Melaka United ketika ini amat tinggi, selain mempunyai kelebihan tersendiri dan pastinya pasukan Sabah FC yang membawa misi besar akan memberi tentangan sengit pada perlawanan itu nanti.
"Tidak dinafikan pasukan lawan yang menerima sentuhan jurulatih berpengalaman Datuk Ong Kim Swee telah menunjukkan kebangkitan, namun saya telah berpesan pada pemain apa yang mereka perlu lakukan esok,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.
Apa yang lebih melegakan jurulatih berusia 60 tahun itu berkata tahap kecergasan skuad Sang Kancil kini berada di tahap terbaik, selain para pemainnya bebas daripada sebarang kecederaan.
Katanya setiap pemain juga telah mempamerkan mutu permainan dan menjadikan saingan amat sengit bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama pada perlawanan itu.
"Mungkin tidak banyak pertukaran dilakukan, hanya satu atau dua pemain tetapi kita akan pilih yang terbaik untuk memulakan permainan pada aksi penting itu,” katanya.
Untuk rekod, pencapaian terbaik pasukan Melaka dalam kejohanan bola sepak tertua di Asia Tenggara itu adalah sekadar melepasi peringkat suku akhir pada 2017 dan 2019. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram