Solskjaer dipecat, bintang Man United meraung di bilik persalinan


  • Podium
  • Ahad, 21 Nov 2021

SOLSKJAER dan pemain Man United menunjukkan reaksi kecewa selepas tewas kepada Watford pada Sabtu. — AP

PARA pemain dan kakitangan Manchester United dilaporkan mengalirkan air mata di bilik persalinan susulan kekalahan besar 1-4 kepada Watford dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.

Beberapa laporan media menyebut kebanyakan pemain Man United menjangkakan pengurus pasukan berkenaan, Ole Gunnar Solskjaer dipecat.

Solskjaer berdepan tekanan selepas pasukan bimbingannya tewas kepada musuh tradisi, Liverpool di laman sendiri dengan jaringan 0-5 pada awal November.

Malahan masa depannya dilihat semakin samar selepas tewas 0-2 kepada musuh setempat, Manchester City seminggu kemudian.

Bagaimanapun, pengurusan Man United masih meletakkan kepercayaan kepada Solskjaer meskipun didesak oleh para peminat supaya memecat pengurus dari Norway itu.

Kekalahan kepada Watford menyebabkan pengurusan Man United mengadakan mesyuarat tergempar untuk memecat Solskjaer.

Laurent Blanc, Michael Carrick dan Darren Fletcher disebut-sebut bakal menjadi pengurus interim manakala pengurusan Man United dilaporkan meningkatkan tawaran buat Zinedine Zidane untuk menggantikan Solskjaer secara tetap.

Man United kini menduduki tangga ketujuh liga dengan 17 mata.

Namun hanya satu kemenangan daripada enam perlawanan liga terakhir merunsingkan para peminat The Red Devils walaupun berjaya mendapatkan khidmat Cristiano Ronaldo, Raphael Varane dan Jadon Sancho musim ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram