Liverpool dilanda badi kecederaan, Klopp guna pelan kecemasan


  • Podium
  • Rabu, 17 Nov 2021

KLOPP 'pening kepala' menentukan kesebelasan utama terbaik menjelang pertemuan Liverpool menentang Arsenal pada Sabtu. — AFP

MASALAH kecederaan pemain yang pulang daripada tugasan antarabangsa membuatkan beberapa pengurus pening kepala.

Contohnya, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp yang akan membimbing pasukannya melayan kunjungan Arsenal di Anfield dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.

Di atas kertas, tiada apa yang perlu ditakutkan kecuali kemungkinan tidak turun dengan kesebelasan utama terbaik.

Liverpool misalannya, berpotensi akan turun tanpa beberapa pemain utama seperti Sadio Mane, Roberto Firmino, Andy Robertson dan Jordan Henderson.

Kecuali Firmino yang cedera ketika menentang Atletico Madrid sewaktu saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL); Mane, Robertson dan Henderson mengalami kecederaan sewaktu bersama pasukan kebangsaan masing-masing.

Firmino AP

FIRMINO (kiri) terpaksa diketepikan selepas cedera sewaktu menentang Atletico Madrid baru-baru ini. — AP

Hujung minggu lalu, Mane bermain untuk Senegal dan menentang Togo. Bagaimanapun dia hanya bertahan kurang setengah jam di atas padang.

Skrip hampir serupa berlaku kepada Henderson apabila dihantar pulang oleh pengurus England, Gareth Southgate kerana masalah kesihatan.

Tanpa Mane, Klopp menjadi gusar kerana pemain sayap itu menjaringkan lapan gol dalam 15 perlawanan musim ini.

Mane dan Mohamed Salah membentuk persefahaman yang penting dalam skuad The Reds.

Sekiranya Mane mengalami kecederaan yang serius, Klopp berkemungkinan besar terpaksa menurunkan Takumi Minamino atau Divock Origi. Salah seorang daripadanya akan bermain bersama Salah serta Diogo Jota.

Kebiasaannya, Minamino atau Origi menampikan aksi yang baik dalam kejohanan lain seperti Piala Liga dan Piala FA. Namun apabila diberikan peluang beraksi dalam EPL, keputusannya sangat mengecewakan.

Di bahagian tengah, ketiadaan Henderson turut memeningkan Klopp kerana Liverpool memiliki pemain yang terhad.

Walaupun tahap kecederaan Henderson belum dipastikan, Naby Keita disahkan sembuh dan James Milner dalam proses pulih daripada kecederaan hamstring.

Mane AP

MANE hanya beraksi kurang setengah jam ketika mewakili Senegal baru-baru ini akibat kecederaan. — AP

Selain Keita dan Milner, Klopp juga boleh meletakkan harapan kepada Curtis Jones, Thiago Alcantara, Alex Oxlade-Chamberlain atau Tyler Morton.

Walaupun berisiko besar, Klopp berkemungkinan akan menyenaraikan Fabinho, Oxlade-Chamberlain dan Thiago.

Di bahagian pertahanan, Klopp masih boleh menyenaraikan pemain utama seperti Virgil Van Dijk, Trent Alexander-Arnold, Joel Matip atau Ibrahima Konate serta Joe Gomez.

Masalah Klopp di bahagian pertahanan adalah kecederaan yang baru dialami Robertson ketika Scotland menewaskan Denmark 2-0 pada Selasa. Dalam perlawanan itu, dia hanya bertahan 13 minit sebelum mengadu sakit di bahagian hamstring.

Maka, pastinya menarik untuk melihat pemain mana akan mengisi posisi ditinggalkan oleh Robertson. Gomez berkemungkinan besar kembali ketika menentang Arsenal.

Sementara itu, Konate dan Matip tidak mendapat kepercayaan Klopp musim ini.

Untuk pengganti Robertson, mahu atau tidak, Klopp harus memberi peluang kepada Kostas Tsimikas yang menampilkan prestasi baik dalam beberapa perlawanan awal liga musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Klopp, Liverpool, Arsenal, EPL, Mane, Firmino, Salah