Rodgers cari rumah berdekatan Manchester


  • Podium
  • Ahad, 14 Nov 2021

RODGERS antara calon yang hangat diperkatakan untuk menggantikan Solskjaer di Old Trafford. — Reuters

BOS Leicester City, Brendan Rodgers kini selangkah lagi untuk menyertai Manchester United apabila dilaporkan sedang mencari rumah baharu berdekatan bandar Manchester.

Sumber yang rapat dengan pengurus yang berasal dari Ireland Utara itu memberitahu, Rodgers sedang melihat rumah di kawasan Wilmslow dan Alderley Edge, di daerah Cheshire yang bersempadan dengan Manchester.

Berita itu menguatkan lagi spekulasi bahawa bekas pengurus Liverpool itu akan menggantikan Ole Gunnar Solskjaer di Old Trafford sebelum Krismas.

Bagaimanapun, Rodgers difahamkan tidak akan diberikan dana untuk membawa masuk pemain baharu pada jendela perpindahan Januari depan.

Ini kerana, lembaga pengarah United percaya skuad sedia ada sudah cukup kuat dan mampu menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding sekarang.

Pada jendela perpindahan musim panas lalu, Solskjaer membawa masuk tiga nama besar iaitu Jadon Sancho, Cristiano Ronaldo dan Raphael Varane, dan telah membelanjakan lebih £400 juta dalam tempoh tiga tahun sejak menjadi pengurus The Red Devils.

Tetapi, United masih belum berjaya mencabar kejuaraan, sama ada di peringkat domestik mahupun Eropah, dan hanya memenangi empat daripada 12 perlawanan terakhir mereka.

Terdapat dakwaan bahawa pemain senior telah hilang kepercayaan terhadap Solskjaer, lebih-lebih lagi setelah dibelasah Liverpool 0-5 ditambah kekalahan 0-2 kepada jiran tetangga, Manchester City, kedua-duanya di laman sendiri.

Menurut laporan, lembaga pengarah kelab juga sudah bermesyuarat untuk membincangkan calon pengganti Solskjaer dan Rodgers menjadi pilihan untuk menerajui kelab untuk kembali bangkit.

Selepas kekalahan kepada Manchester City, Solskjaer juga dilihat terbang pulang ke Norway bersama keluarganya sebelum permulaan kelayakan Piala Dunia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram