Bengang sering disisih, duo United cari jalan keluar dari Old Trafford


  • Podium
  • Jumaat, 12 Nov 2021

VAN de Beek hanya melakukan dua penampilan pada musim ini. — Reuters

DUA pemain Manchester United, Donny van de Beek dan Dean Henderson sedang berusaha untuk mencari jalan keluar dari kelab pada jendela perpindahan Januari depan kerana kerap kali disisihkan oleh pengurus, Ole Gunnar Solskjaer, menurut laporan media.

Kedua-duanya hanya mencatatkan tiga permulaan antara mereka musim ini, dan dilihat tiada dalam perancangan pengurus berbangsa Norway itu.

Henderson, 24, berkhidmat sebagai penjaga gol utama pada awal tahun ini, tetapi kecederaan pinggul dan kesan Covid-19 yang berpanjangan membuatkan dirinya sekali lagi berada di belakang David de Gea.

Sementara itu, Van de Beek, yang juga berusia 24 tahun, tidak pernah diberi peluang secara konsisten untuk membuktikan dirinya sejak perpindahan bernilai £40 juta (RM222.7 juta) dari Ajax Amsterdam pada September 2020.

Pemain tengah itu tidak dapat bermain di posisi nombor 10 kegemarannya kerana konsistensi Bruno Fernandes dan Solskjaer pula enggan memberinya peranan di bahagian tengah bertahan.

Ketika aksi Liga Juara-Juara menetang Villarreal pada September lalu, Van de Beek juga tidak menyembunyikan rasa terkilannya terhadap Solskjaer kerana tidak dimasukkan sebagai pemain gantian.

Pemain Belanda itu dilaporkan akan mendesak untuk meninggalkan kelab pada jendela perpindahan Januari, dengan Henderson juga mahu mengikut jejaknya.

Henderson menyimpan cita-cita untuk menjadi pilihan pertama di kelab dan negara, tetapi kekurangan minit permainan di United membuatkan harapannya itu semakin malap.

Dia juga diketepikan daripada tiga skuad England terakhir sejak menarik diri daripada Euro 2020 kerana kecederaan pinggul.

Ditambah pula dengan aksi memberangsangkan De Gea mengawal gawang The Red Devils pada musim ini, Henderson dilihat semakin sukar untuk mendapat tempat di Old Trafford.

Satu-satunya penampilan Henderson musim ini adalah ketika kekalahan 1-0 kepada West Ham United dalam Piala Carabao.

Newcastle United dipercayai sedang memantau perkembangan Henderson, tetapi United dilaporkan keberatan untuk membiarkannya pergi pada pertengahan musim.

Dalam perkembangan lain, pertahanan yang sering dilanda kecederaan, Phil Jones juga dilaporkan akan ditunjukkan jalan keluar dalam masa terdekat, setelah kali terakhir tampil untuk pasukan pada awal 2020.

Bek tengah yang berusia 29 itu merupakan pemain United yang paling lama berkhidmat dalam skuad dan mempunyai sedang diintai oleh banyak kelab di Liga Kejuaraan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram