KETAJAMAN barisan serangan Manchester United pada musim ini boleh dikatakan berada pada tahap sederhana walaupun dengan kehadiran semula Cristiano Ronaldo.
Musim lepas, United muncul sebagai pasukan kedua paling banyak menjaringkan gol dengan 73 gol, beza 10 jaringan berbanding juara liga, Manchester City.
Penambahan Ronaldo ke jentera serangan diharapkan dapat menambah bisa United dan selepas 11 perlawanan liga, Red Devils setakat ini sudah merekod 19 gol, jauh ketinggalan berbanding pendahulu, Chelsea yang melakar 27 gol.
United kini bergantung kepada ketajaman dua penyerang veteran Ronaldo dan Edinson Cavani dengan dibantu dua penyerang muda Marcus Rashford dan Mason Greenwood.
Bagaimanapun United dilapor mahu mengorbankan Cavani bagi memancing pemain lain ke Old Trafford.
Cavani hanya dua kali diletakkan dalam kesebelasan utama pada musim ini sejak ketibaan Ronaldo.
Dengan usia 34 tahun, Cavani masih ada nilai dan kini diintai Sevilla yang dilapor mahu menggantikan tempat penyerang mereka Youssef En-Nesyri yang kini dibelenggu kecederaan.
Difahamkan United sedia mendengar tawaran Sevilla jika kelab Sepanyol itu mahu memasukkan Jules Kounde dalam pertukaran pemain, lapor Mirror.
Kounde menjadi buruan kelab gergasi Eropah ekoran prestasi baiknya bersama Sevilla dan United mahu mendapatkan pemain berusia 23 tahun itu bagi memperkukuhkan barisan pertahanan.
Ini kerana pemain baharu United, Raphael Varane masih dibelenggu masalah kecederaan dan Eric Bailly tidak menjadi pilihan utama untuk digandingkan dengan Harry Maguire. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram