Matt Busby pernah wakil City, Liverpool tapi julang United


  • Podium
  • Ahad, 14 Nov 2021

MAMPUKAH Rodgers ulangi pencapaian Busby jika mengemudi United?

MASA depan Ole Gunnar Solskjaer di Manchester United sekali lagi menjadi perhatian selepas Red Devils dimalukan musuh setempat, Manchester City di tempat sendiri dalam saingan Liga.

Kekalahan 0-2 kepada City melenyapkan harapan kebangkitan kononnya akan ditunjukkan selepas Ole menukar taktikal perlawanan ketika menundukkan Tottenham Hotspurs, seminggu selepas diratah satu lagi musuh tradisi, Liverpool dengan kekalahan 0-5, juga ditempat sendiri.

'Cuti' perlawanan antarabangsa seolah-olah memberi ruang kepada Ole untuk berfikir sama ada mahu meletak jawatan atau sekurang-kurangnya mencari formula baharu untuk memperbaiki kelemahan United.

Tetapi pada masa yang sama, tekanan yang dihadapi legenda United itu daripada penyokong dan lembaga pengarah juga tidak kurang hebatnya, apatah lagi Red Devils akan berdepan beberapa perlawanan penting selepas 'cuti' antarabangsa.

Beberapa nama pengganti sudah mula disebut termasuk Zidenie Zidane, Erik ten Hag dan Brendan Rodgers.

Jika Zidane atau Hag hadir ke Old Trafford, ia bukan masalah besar kepada penyokong United kerana mereka berdua tidak mempunyai sebarang sejarah pahit bersama United, tidak seperti Rodgers.

Rekod Rodgers sebagai pengurus Liverpool selama tiga musim (2012-2015) pastinya tidak digemari penyokong United untuk melihat bekas pengurus seteru mengemudi pasukan kesayangan mereka.

Rodgers kini menguruskan Leicester City yang berjaya menundukkan United dengan kemenangan 4-2 pada pertengahan bulan lalu.

Jika Rodgers menggantikan Ole, dia bukan pengurus pertama dari seteru United yang menguruskan Red Devils.

Dominasi 'Busby Babes'

Matt Busby, merupakan pengurus United era 40-an yang berjaya mengangkat kelab itu menjadi gergasi besar Eropah, setanding Liverpool pada ketika itu.

Tetapi sebelum Busby menguruskan United, dia merupakan bekas pemain musuh tradisi, Manchester City dan Liverpool.

Meskipun ditawarkan sebagai pembantu jurulatih di Liverpool, Busby memilih untuk mengisi kekosongan jawatan pengurus di United pada 1945, sekali gus membentuk pasukan yang diberi jolokan 'Busby Babes'.

Busby tidak menunggu lama untuk menaikkan reputasi United apabila menduduki tempat kedua dalam liga pada 1947, 1948, 1949 dan 1951.

Selepas tujuh tahun bersama United, Busby akhirnya berjaya membantu kelab itu menjulang kejuaraan liga pada 1952 selepas kali terakhir memenanginya pada 1911, menamatkan kemarau trofi liga selama 41 tahun.

Sejak itu, Busby mula menambah beberapa lagi trofi kejuaraan dalam kabinet United.

Namun pada 1958, Busby berdepan cabaran terbesarnya sebagai pengurus United apabila lapan pemain utamanya maut dalam nahas kapal terbang yang dikenali sebagai Tragedi Munich.

Insiden itu tidak melemahkan Busby, sebaliknya dia membina semula United dengan bakat-bakat baharu seperti David Herd, Albert Quixall dan Denis Law.

Lima tahun kemudian iaitu pada 1963, United kembali kepada prestasi terbaiknya apabila memenangi Piala FA disusuli juara liga pada 1965 dan 1967, dan paling manis, juara Eropah buat kali pertama pada 1968 sebelum bersara setahun kemudian.

Busby menjadi contoh terbaik bagaimana United mengenepikan sentimen 'musuh tradisi' untuk memastikan kelab itu digeruni pasukan lain dalam tempoh 25 tahun pengurusannya dengan 13 kejuaraan.

Mungkin kehadiran Rodgers mampu mengembalikan zaman gemilang United selepas tiga musim tanpa sebarang trofi di bawah kendalian Ole. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram