Rangnick 'The Professor' Jerman, pelopor gaya permainan Gegenpressing


  • Podium
  • Sabtu, 13 Nov 2021

NAMA Rangnick (kiri) kian hangat diperkatakan untuk menggantikan Solskjaer. — Agensi

KEDUDUKAN Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus Manchester United masih terancam.

Pengurus dari Norway itu masih belum selamat meski pun mengembalikan kegembiraan peminat Man United dengan kemenangan 3-0 ke atas Tottenham Hotspurs dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kegembiraan itu bagaimanapun tidak bertahan lama selepas Man United dimalukan musuh setempat, Manchester City dengan kekalahan 0-2 di stadium keramat Old Trafford.

Dengan keadaan Man United yang tidak stabil, terutamanya isu pertukaran jurulatih yang semakin hangat diperkatakan, deretan nama jurulatih terbaik diramalkan sudah bersedia untuk menggantikan Solskjaer.

Antara nama yang dikatakan bakal menyelamatkan Man United adalah jurulatih dari Jerman, Ralf Rangnick.

Rangnick dianggap sebagai calon ideal apabila Solskjaer dipecat kelak. Jurulatih berusia 63 tahun itu dikenali sebagai seorang yang berwawasan dalam permainannya.

Rangnick hadir dengan reputasi besar dan kukuh di Jerman. Dia dikatakan memberi inspirasi kepada jurulatih terkemuka seperti Jurgen Klopp, Thomas Tuchel dan Julian Nagelsmann melalui taktiknya.



RANGNICK membawa pasukan RB Leipzig dari divisyen empat ke liga utama Bundesliga. — Agensi

Dia digelar sebagai The Professor dan merupakan salah seorang pelopor Gegenpressing, gaya permainan di mana pasukan itu segera memberi tekanan kepada pihak lawan selepas kehilangan penguasaan bola.

Pengaruhnya dirasai dalam permainan bola sepak moden dengan banyak pasukan mengamalkan falsafahnya. Ia adalah taktik yang menyebabkan Klopp mengikut langkahnya dengan menggunakan jenama 'heavy-metal football'.

Pengurus Liverpool itu juga menyifatkan Rangnick sebagai 'salah seorang yang terbaik, jika bukan jurulatih Jerman terbaik.'

Berhubung Gegenpressing, Rangnick menyifatkannya taktikal itu sebagai sangat mudah.

"(Gegenpressing) gaya bola sepak yang sangat proaktif, sama seperti cara Borussia Dortmund dan Liverpool bermain di bawah Klopp.

"Kami suka memberi tekanan yang tinggi dan menyerang balas dengan sangat berintensiti. Apabila kami menguasai bola, kami tidak suka menghantar ke belakang atau melakukan 'square pass'.

"Penjaga gol juga tidak sepatutnya menjadi orang yang mempunyai sentuhan paling banyak dengan bola. Dalam hampir setiap liga dan setiap negara, penjaga gol secara teknikalnya adalah pemain bola sepak yang paling terhad di atas padang. Oleh itu, kita perlu memastikan bahawa dia mempunyai sentuhan paling rendah dengan kaki.

"Ini adalah gaya permainan yang pantas, proaktif, menyerang, menyerang balas, memberi tekanan, mengujakan dan menghiburkan," ujar Rangnick. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram